Salahuddin: SPR tidak perlu campurtangan dalam isu politik wang
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) menasihatkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya jangan campurtangan dalam urusan parti-parti politik kerana mendakwa suruhanjaya itu sendiri tidak telus dalam menguruskan pilihanraya.
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) menasihatkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya jangan campurtangan dalam urusan parti-parti politik kerana mendakwa suruhanjaya itu sendiri tidak telus dalam menguruskan pilihanraya.
Oleh itu, ketuanya Salahuddin Ayub berkata, SPR hendaklah 'menutup mulut' daripada campurtangan berhubung kenyataan Mursyidur Am parti itu, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang mendakwa kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu banyak dibantu oleh politik wang.
"Jika SPR sendiri pun tidak telus dalam menguruskan pilihanraya, SPR sepatutnya 'menutup mulut' dalam isu ini dan jangan campur tangan urusan parti-parti politik," kata Salahuddin dalam satu kenyataan.
Katanya, antara kesalahan SPR yang dibuktikan di mahkamah ialah pertukaran masa pilihanraya, daftar pemilih bertindih, kewujudan pengundi warga asing dan buku daftar pemilih yang berbeza di dalam dewan dan di luar dewan mengundi.
"Ini adalah kesalahan SPR dalam mengendalikan pilihanraya yang dibuktikan di mahkamah, tidak termasuk kegiatan 'belakang tabir' SPR dalam memenangkan BN seperti persempadanan pilihanraya, penglibatan Puteri Umno sebagai pegawai SPR, pengundi hantu dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, DPP memandang serius kenyataan Pengerusi Suruhnjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid A Rahman yang mempersoalkan mengapa PAS tidak memfailkan petisyen jika benar BN menggunakan politik wang.
Jadi ahli politik
Salahuddin hairan bagaimana Abdul Rashid sudah terlupa bahawa PAS telah memfailkan 23 petisyen dalam pilihanraya lalu akibat ketidaktelusan SPR dalam menguruskan pilihanraya tersebut.
"DPP Pusat berpandangan bahawa isu yang berbangkit sekarang ialah tentang rasuah yang dilakukan oleh BN semasa pilihanraya, dan tidak ada kaitan lagi dengan SPR. SPR tidak sepatutnya 'banyak mulut' dalam hal ini," tambahnya
Katanya, Abdul Rashid sepatutnya menjadi ahli politik jika mahu bersaing pandangan dengan tokoh-tokoh politik dan bukannya terus duduk dalam SPR.
Di samping itu, katanya, DPP juga mencabar Pemuda Umno supaya mengotakan kata dua Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin untuk menyaman Menteri Besar Kelantan berhubung soal politik wang ini.
Sehubungan itu, katanya, DPP Pusat secara terbuka menyokong kenyataan Nik Aziz yang mendakwa kejayaan BN dalam pilihanraya yang lepas banyak dibantu oleh politik wang.
"PAS mempunyai bukti yang kukuh tentang kegiatan politik wang BN ini. DPP Pusat berharap Pemuda Umno supaya meneruskan samannya kepada Mursyidul Am PAS bagi membuktikan hal ini," tambahnya.
Katanya apabila Pemuda Umno tidak berani untuk membawa perkara ini ke mahkamah, tiba-tiba SPR cuba campurtangan dan mempersalahkan PAS dalam soal ini.
Deposit tinggi
"DPP Pusat ingin mengingatkan semula SPR bahawa PAS telah memfailkan 23 petisyen dalam pilihanraya yang lepas, iaitu yang terbanyak dalam sejarah negara ini. Semua petisyen telah diselesaikan oleh mahkamah.
"Walaupun PAS tidak memenangi mana-mana petisyen, tetapi mahkamah telah membuktikan wujudnya unsur-unsur penyelewengan dalam pilihanraya tersebut. Kekalahan PAS bukan kerana ketiadaan bukti, tetapi kerana masalah teknikal.
"Dalam kes petisyen di Mahkamah Pilihanraya di Parlimen Gombak, mahkamah telah menerima beberapa kesalahan SPR dalam pilihanraya itu," tambahnya.
Di samping itu, katanya SPR juga harus sedar bahawa tidak semua masalah yang berbangkit berupaya untuk dipetisyenkan oleh calon-calon yang bertanding kerana deposit petisyen yang tinggi.
"Setiap petisyen memerlukan RM10,000 sebagai deposit. Adalah mustahil bagi parti pembangkang, calon bebas atau pengundi untuk membuat petisyen dengan kos yang begitu besar.
"Di Kelantan sendiri, isu politik wang, ugutan melalui bantuan kepada pelajar di bawah program 'one-off', membeli undi dan sebagainya menjadi buah mulut rakyat. Tetapi rakyat sebagai pengundi tidak berupaya untuk membuat petisyen dengan kos yang begitu tinggi," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Abdul Rashid supaya memberi tumpuan kepada usaha-usaha memulihkan semula imej SPR yang terjejas kerana sikap memihak beliau kepada BN, bukannya sekali lagi menjadi 'nasi tambah' kepada BN.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.