Balakrishnan semakin lemah di Hospital Sultan Aminah
Seorang tahanan di Pusat Tahanan Simpang Renggam Balakrishnan Appala Naidu, yang mogok lapar selama 16 hari sebelum ini, masih dirawat di Hospital Besar Sultan Aminah Johor Baru di mana keadaannya semakin lemah dan kini tidak berdaya untuk bercakap.
Seorang tahanan di Pusat Tahanan Simpang Renggam Balakrishnan Appala Naidu, yang mogok lapar selama 16 hari sebelum ini, masih dirawat di Hospital Besar Sultan Aminah Johor Baru di mana keadaannya semakin lemah dan kini tidak berdaya untuk bercakap.
Adiknya, Thirumoorty Appala Naidu berkata, berat abangnya susut 20 kg. Dia juga tidak boleh bercakap selepas menghentikan mogok laparnya pada 25 November lalu.
"Ketika dimasukkan ke Pusat Tahanan Simpang Renggam jail (pada 29 April), beratnya ialah kira-kira 120kg. Kini beratnya kurang daripada 80kg. Beratnya mula merosot ketika dalam tahanan, tetapi kini merosot lagi sejak dia mogok lapar. Keadaan kesihatannya nampaknya semakin teruk," kata Thirumoorty ketika dihubungi malaysiakini.
Balakrishnan yang merupakan bekas ketua sebuah cawangan MIC, mula mogok lapar pada 11 November lalu bersama 235 tahanan lain kerana membantah penahanan berterusan mereka di situ tanpa didakwa di mahkamah, serta tidak puashati dengan keadaan di pusat tersebut.
Dia ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969, yang membenarkan kerajaan menahan mereka yang disyaki selama dua tahun tanpa dibicarakan bagi menjaga ketenteraman awam dan mencegah keganasan.
Bekas ahli politik itu disyaki terbabit dalam kegiatan samseng dan kegiatan jenayah yang lain.
Janji menteri
Menurut Thirumoorty, beliau sendiri telah menghantar dokumen-dokumen yang diminta oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar.
Pada 22 November lalu, Noh berkata beliau akan mengeluarkan perintah membebaskan Balakrishnan selepas menerima dokumen-dokumen tersebut.
"Saya menghantar surat-surat dari Pejabat Daerah Gombak (di mana perintah tahanan itu dikatakankan dikeluarkan) dan dokumen-dokumen lain daripada peguam abang saya, kepada pihak timbalan menteri baru-baru ini.
"Noh berkata beliau akan meneliti surat itu dan menimbang kes itu dengan pihak polis. Tetapi sehingga ini tidak berita mengenainya," kata Thirumoorty.
Pegawai yang bertanggungjawab terhadap kes itu di kementerian tersebut, Mohd Shafie Asnaim, ketika dihubungi, memberitahu malaysiakini yang beliau tidak pasti sama ada dokumen tersebut telah dihantar kerana beliau tidak berada di pejabat.
Bagaimanapun, beliau berkata, kes itu sedang dalam pertimbangan.
Peguam Balakrishnan, M Manoharan berkata salah satu dokumen yang dihantarnya melalui Thirumoorty adalah sepucuk surat daripada pejabat Daerah Gombak yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah tahanan jika majistret tidak ada yang menyatakan tiada rekod yang menunjukkan perintah tahanan pernah dikeluarkan terhadap pelanggannya.
"Kami akan menunggu sehingga pertengahan minggu depan dan jika dia masih belum dibebaskan, kami akan mengambil tindakan perlu seperti membuat permohonan ke mahkamah untuk mengkaji semua kes tersebut," kata Manoharan ketika dihubungi.
Seorang lagi tahanan yang turut mengadakan mogok lapar bersama Balakrishnan, Michael Soosai, yang menurut kerajaan, akan dibebaskan, masih lagi berada dalam tahanan.
Permohonan yang sama akan dibuat jika perlu, kata Manoharan.

