Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sarawak mula dilanda banjir
Diterbitkan:  Nov 25, 2015 4:27 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Jumlah mangsa banjir di Lawas, Limbang yang dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Masyarakat Trusan, Lawas bertambah kepada 55 orang daripada 18 keluarga setakat pukul 4.30 petang ini, berbanding 48 sebelum ini.

Jurucakap pejabat daerah Lawas berkata kesemua mangsa itu berasal dari Kampung Seberang Kedai, Kampung Gelapas, Kampung Tengah dan Kampung Masjid Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Lawas dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menasihatkan semua penduduk Lawas menyimpan air bagi kegunaan harian kerana catuan bekalan air akan dilakukan.

"Sungai Batang Trusan sedang mengalami tahap air yang tinggi buat masa ini dan bagi menjaga keselamatan loji jika air semakin naik, pam elektrik di loji rawatan Trusan akan ditutup," katanya.

JKR Lawas berkata, pam elektrik itu akan beroperasi semula jika air sungai kembali surut.

Sebelum itu, hujan berterusan sejak semalam hingga hari ini menyebabkan beberapa kampung di Trusan dan Sundar di Lawas, Limbang dinaiki air menyebabkan 48 mangsa banjir dipindahkan ke Dewan Masyarakat Lawas sehingga pukul 2 petang tadi.

Menurut statistik disediakan polis Lawas, antara kawasan terjejas banjir di Trusan ialah Kampung Seberang Kedai, Kampung Tengah, Kampung Gelapas dan Kedai lama Trusan manakala di Sundar ialah Kampung Sebelah Sundar, Kampung Baru, SK Luagan, Kampung Bingkiai, Kampung Sinampuan dan Balai Polis Sundar.

Sebanyak 34 orang daripada 10 keluarga dari Kampung Gelapas adalah antara mangsa banjir terawal dipindahkan ke pusat pemindahan pada kira-kira 12 tengah hari ini.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Limbang, Suboh Posa berkata mereka dipindahkan ke pusat pemindahan kerana air daripada kawasan hulu telah mula menaiki kawasan kampung tersebut.

Penolong Pegawai Tadbir Daerah Lawas Siti Rohana Tuah berkata, dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk dihantar ke sekolah bagi menduduki peperiksaan.

Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim menasihatkan penduduk untuk berpindah jika diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa bagi kemudahan mereka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS