Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PERKASA menyifatkan hanya pemimpin yang hebat sahaja dipecat daripada Umno.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata demikian ketika mengulas isu pemecatan bekas Ketua Wanita Umno bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman dari parti semalam.

Kata Ibrahim lagi, berdasarkan senario politik parti itu, mereka yang dipecat kebiasaannya adalah mereka yang lantang mengkritik parti ataupun terlibat dengan politik wang.

"Macam Hamidah, bagi saya itu sudah takdir sebab manusia ditimpa musibah (dalam Umno) hanya dua perkara satu betul-betul dia buat salah, politik wang dan satu lagi kerana dia pemimpin hebat.

"Apatah lagi kalau dia bercakap lebih, menegur, mengkritik, tak dinaikkan pangkat dan dipecat maknanya dia pemimpin hebat," katanya.

Mengulas lanjut, bekas ahli parlimen Pasir Mas itu berkata dalam perjuangan parti tidak ada istilah menghargai pengorbanan seseorang pemimpin itu walaupun mempunyai jasa yang besar kepada parti.

Semalam Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Hamidah dipecat dari parti itu atas alasan berkaitan disiplin.

Hamidah sebelum ini dilayangkan surat tunjuk sebab kerana hadir di Lapangan Terbang Subang untuk menyambut kepulangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

‘Pribumi menjelang 2020, realiti, retorik dan cabaran’

Beliau juga lantang membidas Najib dan pernah mendesak supaya beliau melepaskan jawatan kerana terpalit dengan isu RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadinya.

Hamidah adalah bekas Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional).

Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata, PERKASA akan mengadakan persidangan agungnya yang ke-6 pada bulan depan di Dewan Muktamar Pusat Islam Kuala Lumpur.

Katanya, persidangan kali ini membawa tema ‘Pribumi menjelang 2020, realiti, retorik dan cabaran’.

Menurutnya, persidangan itu akan memfokuskan isu berkaitan hak pribumi seperti kos sara hidup, pemilikan ekuiti dan pendidikan.

“Kita akan bahaskan semua masalah yang sedang dialami oleh kaum pribumi. Kita ada masa empat tahun lagi untuk capai ekuti (30 peratus bumiputera) menjelang 2020,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat PERKASA petang tadi.

Persidangan itu akan berlangsung pada 20 Disember dan bermula jam 8.30 pagi.

Katanya lagi, tetamu undangan persidangan itu ialah Laskar Merah Putih (LMP) dari Indonesia.

Lihat Komen
ADS