Persaingan hebat dijangka berlaku bagi pemilihan jawatan timbalan ketua Angkatan Muda, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam perhimpunan agung parti itu hujung minggu.

Ezam Mohd Nor telah dipilih semula tanpa bertanding bagi jawatan ketua pergerakan tersebut. Tiga nama yang dicalon untuk jawatan timbalannya ialah ketua Pemuda Parti Rakyat Malaysia (PRM), Faizal Sanusi dan dua exco pergerakan itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Zaki Zamani.

Bagaimanapun, sumber-sumber parti itu berkata, ia dijangka membabitkan pertandingan dua penjuru antara Faizal dan Shamsul Iskandar.

Seorang lagi calon, Zaki, dijangka menarik diri untuk mencerahkan lagi peluang untuk Shamsul Iskandar memenangi jawatan tersebut.

Menurut sumber-sumber itu lagi, pertandingan kali ini agak menarik kerana beberapa faktor yang berlaku dalam parti itu selepas penggabungan PRM-Keadilan dan selepas pilihanraya umum lalu.

"Sejak kekalahan teruk parti Keadilan dalam pilihanraya umum lalu, kini muncul usaha-usaha untuk 'memudakan' semula Angkatan Muda PKR bagi'menjana' kekuatan dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

"Ini mahu dilakukan mereka dengan memberi peluang kepada pemimpin yang dalam lingkungan usia 30-an dipilih ke jawatan timbalan ketua," kata sumber-sumber itu.

Penggal terakhir

Lagi pula, katanya, ini merupakan penggal terakhir bagi Ezam untuk memimpin Angkatan Muda PKR kerana walaupun tiada had umur tetapi perlembagaannya menetapkan seseorang boleh menerajuinya selama tiga penggal sahaja.

"Memandangkan Ezam sudah dua penggal memimpin Angkatan Muda, maka ini adalah penggal terakhir beliau menerajui pergerakan ini," kata sumber-sumber tersebut.

Manakala Faizal, katanya, yang dilantik sebagai timbalan ketua Angkatan Muda selepas penggabungan PRM-Keadilan baru-baru ini, kini sudah berusia 35 tahun.

"Ada pihak dalam Angkatan Muda yang berpendapat, pemimpin lebih muda patut diberi peluang untuk menjadi timbalan Ezam, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan apabila Ezam melepaskan jawatan selepas penggal ini," katanya.

Oleh itu, kata sumber-sumber tersebut, Shamsul Iskandar yang berusia 30 tahun, merupakan calon terbaik bagi menyandang jawatan tersebut.

"Lagi pula, ini selaras dengan pemilihan di peringkat bahagian di mana kebanyakan ketua pergerakan itu berusia dalam lingkugan 30-an," tambahnya.

Berkempen

Menurut sumber-sumber itu, usaha untuk memudakan pergerakan itu berpunca daripada kekecewaan ahli-ahlinya di atas kegagalan pihak parti untuk 'mempersiapkan' mereka untuk menghadapi pilihanraya umum lalu.

"Kerja pemuda dalan angkatan tersebut ialah setakat memasang kain rentang dan poster parti. Apa yang mereka mahu ialah pihak parti mengadakan kursus untuk berkempen dan menarik sokongan pengundi...itulah yang tidak ada.

"Jadi, kali ini, mereka mahu membuat persiapan awal...dan langkah pertama untuk 'memudakan' pergerakan itu berjaya dengan memastikan Shamsul Iskandar memenangi jawatan timbalan ketua," tambahnya.

Ditanya apakah usaha tersebut akan berjaya memandangkan perlantikan Faizal ke jawatan tersebut dilihat sebagai satu 'kompromi' selepas penggabungan PRM-Keadilan, sumber-sumber berkata:

"Jawatan tersebut boleh dipertandingkan...jadi sesiapa sahaja boleh dicalonkan untuk berbuat demikian. Oleh itu, Faizal pun mestilah bersedia untuk mempertahankannya."

Mengenai peluang Shamsul Iskandar untuk memenangi jawatan tersebut, sumber-sumber itu berkata: "Berdasarkan kepada maklumbalas dari peringkat akar umbi, nampaknya peluang untuknya menang adalah cerah sekali."