Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Sabah berusaha sebaik mungkin bebaskan Then
Diterbitkan:  Nov 26, 2015 6:48 AM
Dikemaskini: Nov 26, 2015 9:48 AM

Kerajaan negeri Sabah telah berusaha sebaik mungkin untuk membebaskan mangsa culik Bernard Then Ted Fen yang dibunuh kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina bulan ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang berkata kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Then, 39, yang diculik kumpulan bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada Mei lalu.

Pengurus restoran itu Thien Nyuk Fun, 50, yang turut diculik bersama Then, dibebaskan pada 9 November lepas.

“Kita merasa amat dukacita berikutan seorang daripada dua tebusan menjadi mangsa keganasan kumpulan ini.

“Kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam ini yang dianggap tidak berperikemanusiaan,” kata Teo ketika ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah semalam.

Beliau berkata kerajaan sememangnya mengambil berat masalah keselamatan di kawasan perairan pantai timur Sabah yang dikenal pasti sebagai laluan penjenayah rentas sempadan termasuk aktiviti penculikan untuk wang tebusan (KFR).

“Setakat ini Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah berjaya menggagalkan sembilan cubaan menculik di kawasan pantai timur Sabah melalui beberapa inisiatif hasil ‘predictive intelligence’ melibatkan pelbagai agensi keselamatan,” katanya.

Teo berkata kawalan keselamatan secara holistik dan komprehensif merangkumi kawasan laut dan pulau yang dikenal pasti sebagai titik transit penjenayah dapat dipertingkatkan lagi dengan menempatkan aset canggih dan menambah bilangan anggota keselamatan di kawasan berisiko tinggi.

Di samping itu, beliau berkata ESSCom turut mempertingkatkan jalinan kerjasama dengan pasukan keselamatan Filipina dalam aspek pertukaran maklumat keselamatan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan juga memandang berat masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini dan berusaha mengatasi masalah ini melalui pelbagai pendekatan kerana dipercayai ada di kalangan mereka menjadi tali barut penjenayah KFR,” tambahnya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri bakal melaksanakan K-Rakyat: 1 Sabah One Contact Centre pada tahun hadapan yang bertujuan memudahkan cara komunikasi orang awam dengan agensi kerajaan menerusi konsep pusat panggilan setempat.

Menterinya Datuk Siringan Gubat berkata menerusi perkhidmatan itu, orang awam boleh mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan kepada pelbagai agensi kerajaan menggunakan satu nombor rujukan tunggal.

“Pusat panggilan setempat ini akan menyediakan lima saluran komunikasi iaitu melalui telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), faks, emel dan media sosial, sekali gus orang awam tidak lagi perlu mengingati atau mendapatkan pelbagai maklumat perhubungan setiap kali berurusan dengan agensi kerajaan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS