Bahagian 1 Semua akhbar harian dan stesen penyiaran negara kita dimiliki parti pemerintah atau dikawal kerajaan. Sementara penerbitan dan pengedaran akhbar-akhbar bebas dihalang dan diharamkan, khususnya selepas pilihanraya umum 1999.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dua hari lalu akhirnya mengaku lima permit penerbitan telah dibatalkan sejak tahun itu. Selain Detik , Eksklusif dan Al-Wasilah yang diharamkan tahun lalu, kerajaan juga membatalkan Panji Masyarakat dan Kemelut .

Sementara tahun ini pula, kerajaan belum memperbaharui permit majalah Gosip sejak Januari dan akhbar tabloid Semasa (sejak Mac).

Wartawan yang terus menerbit tanpa permit seperti diperintah dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang dikuatkuasakan oleh kementerian itu akan menghadapi pelbagai risiko dan tekanan.

Dua syarikat penerbitan, satu di Jalan Pahang, Kuala Lumpur dan satu lagi di Gombak, Selangor diserbu dua kali sepanjang tahun lalu. Pegawai-pegawai KDN juga merampas bahan-bahan terbitan.

Seorang daripada kakitangan syarikat itu, Penerbitan Pemuda, didakwa di mahkamah pada November tahun lalu dan akan disambung perbicaraan pada 21 Jun depan.

Sementara dua syarikat percetakan di Selangor, satu di Shah Alam dan satu lagi di Sungai Buloh, juga diserbu oleh KDN. Pengurus sebuah syarikat itu disiasat dan diganggu pula oleh polis.

Selain itu, operasi merampas dan menangkap pengedar-pengedar penerbitan bebas terus dijalankan - beberapa kali di Wisma Yakin, Kampung Baru di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Shah Alam (Selangor) dan beberapa negeri lain.

Jualan menurun

Dalam rampasan ini, kaset, video cakera padat (VCD), majalah dan tabloid dirampas. Pengedar juga ditahan di balai-balai polis untuk tempoh beberapa jam hingga hampir 24 jam. Setakat ini bagaimanapun, belum ada pendakwaan diambil terhadap mereka.

Pada 15 Mei lalu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya pula memberikan amaran kepada peniaga pasar malam agar tidak menjual bahan-bahan terbitan seumpama itu, termasuk akhbar terbitan syarikat persendirian dan juga akhbar pembangkang.

Kerajaan Selangor pula beberapa bulan lalu melarang bangunan-bangunan milik syarikat pelaburannya PKNS (perbadanan kemajuan negeri) mengedar atau menjual semua bahan terbitan pembangkang, termasuk media yang diusahakan oleh wartawan bebas.

Akibat tekanan yang berterusan tidak semua pengedar sanggup meneruskan jualan dan hasil pengedaran menurun. Sepanjang tahun lalu dijangkakan 20 hingga 30 peratus jualan menurun daripada kadar purata 100,000 naskhah bagi setiap keluaran akibat sekatan dan gangguan terhadap pengedar sahaja.

Pada Mac tahun lalu, akibat ketewasan mengejut Umno dan kehilangan pengaruh yang besar di kawasan-kawasan pengundi Melayu, kerajaan mengurangkan penerbitan akhbar pembangkang berpengaruh Harakah kepada dua kali sebulan, daripada lapan kali sebelumnya.

Sementara pada Januari pula, kerajaan mengheret editor akhbar tabloid ini, Zulkifli Sulong, dan syarikat percetakannya ke mahkamah berasaskan sebuah rencana yang diterbitkan pada 1999. Syarikat percetakan itu mengaku bersalah dan dikenakan denda.

Zulkifli, jika sabit kesalahan di bawah Akta Hasutan, boleh dipenjara selama tiga tahun. "Kerajaan cuba menutup mulut kita" katanya.

Sikap NUJ

Di kalangan wartawan yang bertugas dengan organisasi media arus perdana - yang dikawal ketat oleh syarikat kroni dan KDN - mereka mengamalkan penapisan sendiri (self-censorship) sebagai budaya semula jadi akibat terbiasa ditekan kerajaan dan ditindas ketua-ketua pengarang mereka.

Wartawan negara ini bertuah kerana mendapat bayaran terbaik di rantau Asia Tenggara, tetapi kebebasan sangat terhad atau tidak ada sama sekali. Pendek kata, wartawan arus perdana berjaya dijinakkan. Seorang dua yang tidak sabar akan meninggalkan kerjaya itu atau mencari pekerjaan dengan syarikat-syarikat media luar negara.

Dalam perkembangan terbaru, MCA melalui syarikat pelaburannya akan menandatangani pengambilalihan dua akhbar utama berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau dan China Press minggu depan. Sementara sebuah lagi akhbar, Sin Chew Jit Poh , yang menjadi pesaing Nanyang dilaporkan turut berminat menguasai pegangan dalam Kumpulan Nanyang Press.

MCA sebelum ini memang dikenali menguasai akhbar berbahasa Inggeris, The Star - akhbar yang pernah diharamkan ketika operasi tangkapan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara besar-besaran, Operasi Lalang 1987.

Sementara Umno menguasai dua kumpulan akhbar terbesar, Kumpulan Utusan dan Kumpulan NST, selain stesen televisyen TV3. MIC pula menguasai akhbar harian Tamil Nesan .

Selain syarikat media, pertubuhan rasmi untuk wartawan - misalnya Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Persatuan Wartawan Melayu dan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) - semuanya dikawal oleh golongan yang bertugas dengan media arus perdana.

Kawalan yang ketat dalam dasar berita dan laporan (editorial content) ini diteruskan pula dalam organisasi-organisasi ini - tugas utama mereka mereka menjaga kebajikan, gaji dan sosial wartawan.

NUJ misalnya, ketika mengulas pengambilan Nanyang oleh parti Cina itu, bukan setakat tidak membantah malah memberikan sokongan secara tidak langsung langkah MCA itu dengan cara menyifatkan pengurusan akhbar itu selama ini punca jualannya menurun.

[#1] Bahagian 2 di bawah [/#]


FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini dan beliau juga bergiat cergas dalam jawatankuasa kempen media bebas Kami (Kumpulan Aktivis Media Independen). Tulisan asal, 'Usaha sistematik menindas media', diolah semula (dengan perkembangan terkini) daripada buku cenderamata majlis forum dan anugerah tokoh media yang diadakan sempena 'Hari Kebebasan Akhbar' awal bulan ini. Tulisan ini memberikan liputan menyeluruh kes-kes tekanan kerajaan sejak akhir 1999 hingga hari ini.