Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan wartawan The Star untuk terus memberi keterangan dalam kes bekas tahanan ISA Yazid Sufaat dan pekerja kanti, Muhammad Hilmi Hassan yang didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).

Dalam membuat perintah itu, panel tiga hakim memutuskan bahawa keselamatan negara mengatasi kod kerahsiaan wartawan bagi melindungi sumber mereka.

Dengan keputusan ini, wartawan Tashny Sukumaran perlu terus memberi keterangan pada perbicaraan kedua-dua tertuduh yang dikatakan menjadi anggota kumpulan pelampau militan Tanzim al-Qaeda Malaysia dan didakwa merekrut ahli baru.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohtaruddin Baki.

"Kami menolak rayuan itu kerana keselamatan negara mengatasi kerahsiaan," katanya.

Dua lagi yang bersamanya adalah Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim.

Peguam New Sin Yew mewakili Yazid dan Hilmi dan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof yang juga adalah Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, mengesahkan keputusan hari ini ketika dihubungi Malaysiakini .

Keputusan hari ini dilihat memberi kesan kepada profesion kewartawanan di Malaysia yang mengamalkan kod kerahsiaan dengan tidak mendedahkan sumber mereka.

Tashny sedang menjawab soalan semasa perbicaraan apabila pihak pendakwaan memintanya untuk mendedahkan sumber berhubung laporan muka depan yang ditulisnya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan seorang wartawan gagal dalam rayuan untuk mengetepikan sapina yang menghendaki beliau memberi keterangan dalam kes perbicaraan dua lelaki didakwa terbabit dalam kegiatan menggalakkan keganasan.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan S Tarshini dari akhbar The Star dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk tidak menjadi saksi pendakwa dalam perbicaraan Yazid Sufaat dan Muhammad Hilmi.

Panel tiga anggota hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit dan tidak ada sebab untuk mengganggu dapatan hakim Mahkamah Tinggi.

Mohtarudin berkata keterangan Tarshini adalah relevan kepada pertuduhan yang dihadapi oleh Yazid dan perkara itu sebagai kes keselamatan negara maka ia mengatasi peraturan kerahsiaan.

Tarshini telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sapina itu serta memadamkan keterangan yang diberikan di mana beliau diminta mendedahkan sumber berita bagi laporannya bertajuk: 'Ex-militant: We send new recruits straight to the frontlines'.

Beliau memfailkan permohonan berdasarkan alasan bahawa keterangannya tidak relevan kepada kes tersebut dan pendedahan sumber berita akan melanggar kod etika kewartawanan.

Pada 10 April lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya dan mendorong beliau untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Tarshini merupakan saksi keenam pendakwa dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang akan disambung semula pada 20 Januari depan.

Yazid, 51, didakwa terhadap dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat menghasut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al Qaeda Malaysia manakala Muhammad Hilmi, 35, dituduh bersubahat dengannya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013 mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tarshini diwakili peguam Christopher Leong manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Hanafiah Zakaria.

- Bernama

Lihat Komen
ADS