Bahagian 2 Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) juga, serta beberapa organisasi wartawan itu, berdiam diri apabila kerajaan menutup beberapa penerbitan Melayu berpengaruh itu sepanjang tahun lalu.

Sementara beberapa persatuan wartawan dan penulis - yang dipercayai ada kaitan dengan Umno - menggesa kerajaan mengetatkan lagi Akta Hasutan, akta penerbitan dan menggubal akta Internet.

Bagaimanapun sebelum ini, sekumpulan wartawan arus perdana yang digerakkan oleh wartawan kanan di The Star dan New Straits Times (dengan sokongan hampir 1,000 rakan mereka) telah menghantar memorandum bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghapuskan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak. Usaha ini diteruskan sejak 1999 lagi.

Kumpulan ini juga menemui Menteri Dalam Negeri, yang juga Timbalan Perdana Menteri Abdullah Badawi, pada April tahun lalu dan sempat membincangkan beberapa idea progresif, misalnya penubuhan 'Majlis Akhbar' yang bebas dan dikawal selia oleh wartawan sepenuhnya.

Bagaimanapun idea majlis akhbar yang digembar-gembur dalam media arus perdana baru-baru ini, dengan sokongan ketara kerajaan, dibimbangi tidak bebas. Kerajaan sendiri pernah menyebutkan majlis itu akan berjalan seiring dengan akta penerbitan yang mengongkong itu.

Selepas menghadapi tekanan yang semakin serius, sekumpulan wartawan Melayu akhirnya bergabung dan menghantar memorandum tujuh perkara kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada awal Oktober tahun lalu.

Gabungan longgar beberapa aktivis dan wartawan media bebas itu menggelarkan diri mereka 'Kumpulan Aktivis Media Independen' (atau Kami). Kumpulan ini akhirnya bergerak lebih cergas untuk menahan tekanan yang semakin kuat dan membangkitkan kesedaran pelbagai pihak bahaya tekanan-tekanan kerajaan itu.

Bagaimanapun Suhakam tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif kecuali kenyataan lisan untuk mengkaji akta penerbitan. Kenyataan itu dikeluarkan kepada rombongan Kami pada 3 Mei lalu yang menghantar 'Perisytiharan Hari Kebebasan Akhbar' sebagai susulan pertemuan tahun lalu.

Mahathir musuh akhbar

Perisytiharan lima perkara itu antara lain menyebutkan: "Kumpulan wartawan bebas menggesa Suhakam menubuhkan dengan segera jawatankuasa bebas dan terbuka bagi menyiasat semua langkah pencabulan terhadap media dan kawalan terhadap wartawan, sama ada mereka yang bertugas dengan media bebas (anggota Kami) atau media arus perdana, khususnya penutupan tiga penerbitan sepanjang tahun 2000 iaitu akhbar mingguan Eksklusif , dan majalah-majalah Detik dan Al-Wasilah .

Akibat tekanan-tekanan itu yang semakin meningkat, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah tiga tahun berturut-turut sejak 1999 diisytiharkan seorang daripada 10 pemimpin negara yang dianggap 'musuh utama akhbar' atau ' ten worst enemies of the press ' di peringkat antarabangsa.

Senarai 10 nama ini diterbitkan oleh Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang beribu pejabat di New York (Amerika Syarikat) pada 3 Mei setiap tahun, sebagai bantahan masyarakat wartawan antarabangsa terhadap pemimpin politik dan kerajaan yang menindas kebebasan akhbar.

Sejak Februari dan Mac pula, kerajaan secara rasmi melarang wartawan Malaysiakini.com, daripada menghadiri acara-acara rasmi dan sidang akhbar kerajaan. Media-media arus perdana juga menyiarkan kecaman-kecaman menteri dan pegawai kerajaan terhadap akhbar ini.

Malah Perdana Menteri sendiri menganggap akhbar web ini sebagai "pengkhianat negara" dan mendakwa "sesiapa yang sayangkan negara ini tidak harus menyokongnya (akhbar web tersebut)" dalam satu kontroversi apabila malaysiakini cuba dikaitkan kononnya menerima sumbangan George Soros.

Walaupun sering mengecam secara umum media-media luar negara, kerajaan sebelum ini belum mengambil sebarang tindakan. Pada akhir Februari dan berlanjutan sehingga Mac lalu, kerajaan telah melambat-lambatkan pengedaran dua majalah mingguan terkenal, Asiaweek dan Far Eastern Economic Review (FEER) sehingga selama tiga minggu.

Akta baru kawal Internet

Kerajaan juga menubuhkan jawatankuasa bersama antara Kementerian Luar dengan Kementerian Penerangan kononnya untuk memantau laporan-laporan negatif media asing.

Awal Mac lalu, polis merampas komputer pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin untuk siasatan berhubung kes hasutan dan pada 11 April lalu, beliau ditahan di bawah ISA bersama sembilan yang lain.

Turut ditahan ISA, penulis kolum malaysiakini , Hishamuddin Rais. Setelah 48 hari, mereka berdua belum dibebaskan.

Pada pertengahan April lalu pula, kerajaan mengeluarkan kenyataan untuk mengetatkan undang-undang berhubung media, khususnya undang-undang internet dan akta penerbitan (PPPA).

Sementara pada 13 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Rais Yatim berkata kerajaan sedang merangka - di peringkat akhir - undang-undang baru untuk mengawal Internet.

Wartawan semakin hari nampaknya semakin terkongkong. Walaupun suara desakan untuk menuntut kebebasan akhbar semakin lantang, kerajaan menyambutnya dengan menutup media bebas, mengambil alih akhbar harian, mendakwa wartawan di mahkamah dan menggubal undang-undang baru.

Jika wartawan terus berdiam diri, berhenti setakat kempen kecil-kecilan dan bermusim sahaja, marilah kita ucapkan takziah untuk semua wartawan dan talqinkan sahaja kebebasan media!


FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini dan beliau juga bergiat cergas dalam jawatankuasa kempen media bebas Kami (Kumpulan Aktivis Media Independen). Tulisan asal, 'Usaha sistematik menindas media', diolah semula (dengan perkembangan terkini) daripada buku cenderamata majlis forum dan anugerah tokoh media yang diadakan sempena 'Hari Kebebasan Akhbar' awal bulan ini. Tulisan ini memberikan liputan menyeluruh kes-kes tekanan kerajaan sejak akhir 1999 hingga hari ini.