'Malaysia bakal jadi negara polis dengan akta baru MKN'
Pakatan Harapan menggesa kerajaan membatal atau menangguhkan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang dirancang untuk diluluskan di Parlimen hari ini.
"Saya mahu undang-undang ini dimansuhkan. Jika kerajaan masih mahu meneruskannya, berikan kami masa yang cukup (untuk persedian berbahas secara menyeluruh di Dewan Rakyat)," kata Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang).
"Kami sibuk dengan perbahasan Bajet 2016 [...] kami tidak mempunyai masa yang mencukupi (untuk persediaan membahas rang undang-undang itu). Rang undang-undang itu mengandungi banyak peruntukan yang zalim dan menindas" katanya.
"Jika rang undang-undang itu diluluskan hari ini, kita akan menuju menjadi negara polis. Kami akan menentangnya habis-habisan," katanya.
"Saya harap keadilan dan akal akan diguna pakai, biarlah kerajaan tarik balik rang undang-undang itu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Akta baru itu hanya dibentangkan Selasa lalu. Ia memberikan MKN kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana tempat sebagai 'kawasan keselamatan' dan pasukan keselamatan boleh campur tangan untuk menangkap dan menyita tempat itu tanpa waran.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.