DAP guna ‘senjata Dayak’ tawan Sarawak
DAP dilaporkan membuat persediaan ‘solo’ bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang mesti diadakan pada atau sebelum 20 Jun tahun depan.
Sejak masalah semakin meruncing dengan PKR, calon berpotensi DAP mula sendiri ‘turun padang’ berjumpa dengan rakyat.
Ada juga di antara mereka yang sebelum ini bersama PKR, mula bergerak dengan DAP.
Aktivis Dayak Paul Raja berkata beliau adalah antara 12 bekas pemimpin PKR dan aktivis yang menyertai DAP bulan lalu.
Ini kerana mereka percaya dengan agenda 'Impian Sarawak’ yang dibawa DAP sebagai platform paling berdaya maju untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat kaum itu.
"Kami kenal satu sama lain dan sentiasa mahu bekerjasama. Kami lihat banyak faedah bersama, ini adalah sebab kami sertai DAP.
"Kaum Dayak selama ini sentiasa bersama BN melalui PBB tetapi ia tidak lagi berjalan dengan baik dan kami secara amnya tidak dapat manfaat menyokong mereka," peguam berusia 49 tahun yang sering memperjuangkan hak tanah adat pribumi dalam satu wawancara dengan Malaysiakini di ibu pejabat DAP di Petaling Jaya, semalam.
Menurut Raja, kumpulan itu bersedia membantu DAP menembusi kubu BN dengan syarat parti itu memberi ikrar bertulis bahawa mereka akan menghormati hak-hak Dayak sebagai masyarakat majoriti di Sarawak yang menitik-beratkan tujuh perkara utama.
Antaranya, menjamin kepimpinan politi Dayak, pembaharuan tanah adat NCR dan dasar membangunkan penduduk pribumi.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen mengesahkan bahawa Raja adalah antara mereka yang dianggap sebagai calon yang berpotensi untuk bertanding di kawasan-kawasan di luar daripada 12 kerusi kawasan bandar yang majoritinya masyarakat Cina yang dimenangi parti itu pada 2011.
Pada pilihan raya negeri itu, parti itu bertanding 15 kerusi.

