Pekeliling haram jualan vape diedar ke PBT di Johor minggu ini
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor akan menerima surat pekeliling bagi mengharamkan penjualan vape dalam minggu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abd Latif Bandi berkata keputusan untuk melanjutkan pekeliling itu sudah dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat kerajaan negeri semalam.
"Walaupun setiap PBT sudah mengambil maklum tentang arahan yang dikeluarkan baru-baru ini, namun pekeliling akan tetap diedarkan dalam minggu ini.
"Ia bagi memaklumkan pelaksanaan pengharaman vape berkuat kuasa 1 Januari depan di kesemua premis perniagaan di Johor," kata beliau dalam sidang media di Nusajaya hari ini.
Semalam, Latif memberitahu kerajaan negeri kekal dengan keputusan mengharamkan penjualan vape sebagaimana yang dititahkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 29 November.
Menurut beliau, langkah itu diambil setelah mengambil kira kesejahteraan rakyat dalam konteks kesihatan.
Pengharaman penjualan vape di Johor merangkumi peranti dan cecairnya.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
