Imigresen, polis belum dapat arahan jangan tahan pelarian
Sehingga ini tiada sebarang arahan dikeluarkan untuk mengecualikan mana-mana pelarian daripada ditahan oleh pihak berkuasa apabila gerakan menangkap pendatang tanpa izin dilancarkan bulan depan.
Sehingga ini tiada sebarang arahan dikeluarkan untuk mengecualikan mana-mana pelarian daripada ditahan oleh pihak berkuasa apabila gerakan menangkap pendatang tanpa izin dilancarkan bulan depan.
Perkara ini diberitahu oleh pegawai-pegawai agensi kerajaan yang mengambil bahagian dalam dialog meja bulat mengenai pelarian anjuran Suhakam di Kuala Lumpur semalam.
Pada 10 November lalu, Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian Volker Turk berkata pihak kerajaan telah memberi jaminan kepadanya bahawa pelarian tidak akan ditahan dalam gerakan tersebut mulai 1 Januari depan.
Bagaimanapun, para peserta yang mengambil bahagian dalam dialog tersebut terperanjat apabila mengetahui bahawa agensi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen dan Polis tidakpun dimaklum mengenai perkara tersebut.
Gerakan tersebut akan dilancarkan bersama oleh pihak Imigresen, polis dengan dibantu oleh setengah juta anggota Rukun Tetangga dan Rela.
Bercakap di sidang akhbar kemudiannya, Turk melahirkan kebimbangan UNHCR kerana semua pihak yang akan terbabit melancar gerakan itu belum diberi taklimat mengenainya. Beliau bagaimanapun yakin kerajaan akan berpegang pada janjinya itu.
Tiada arahan
"Ya, kami memang bimbang, tetapi saya yakin akan mendapat kerjasama daripada pihak polis.
"Bagaimanapun, keadaan berbeza dengan agensi-agensi lain, dan kami akan menemui pengarah Rela Jumaat ini," katanya sambil menegaskan pihaknya menghadapi kesukaran untuk mendapat tarikh temujanji untuk menemui Jabatan Imigresen.
Katanya, jaminan tersebut diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid dan perbincangannya dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar juga membuahkan hasil yang menggalakkan.
Sebelum itu, dalam reaksinya kepada ucapan Turk, wakil Jabatan Imigresen, Ramli Halim dan wakil polis, Penguasa Abdullah Hamid berkata jabatan mereka belum menerima sebarang arahan mengenai perkara tersebut.
"Kami (Jabatan Imigresen) adalah antara agensi-agensi penguatkuasa yang hadir hari ini. Tugas kami ialah untuk menguatkuasakan undang-undang seperti Akta Imigresen dan Akta Pasport. Kami diarahkan oleh pihak kerajaan, dan setakat ini, tiada sebarang perubahan," kata Ramli.
Bagaimanapun, katanya, jika dakwaan Turk itu betul dan jika arahan dibuat kepada jabatannya, pihaknya akan mematuhinya. Begitu juga dengan Jabatan Polis, ianya akan mematuhinya jika mendapat arahan rasmi mengenainya.
"Kami akan mematuhinya dan memastikan kami melakukan apa yang diarahkan, dan tidak menangkap dan menahan mereka, apabila kami mendapat arahan daripada pihak atasan," kata Abdullah.
Pencari suaka
Beliau bagaimanapun mengkritik hujah Turk bahawa Malaysia turut terikat kepada undang-undang antarabangsa walaupun ia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu 1951 mengenai peraturan melindungi pencari suaka.
"Jangan sebut mengenai prinsip-prinsip perundangan antarabangsa kepada kami. Apabila membabitkan pelarian di Malaysia, undang-undang antarabangsa tidak berfungsi di sini," katanya.
Menurut Turk, walaupun Malaysia tidak menandatangani konvensyen tersebut, pihak kerajaan telah menerima prinsip-prinsip asas 'di mana mereka yang lari daripada penindasan, tidak boleh dihantar pulang ke negara asalnya'.
Malaysia dikecam sejak kebelakangan ini oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa kerana menangkap dan menghantar pulang secara paksa pelarian dari Burma dan Aceh.
Bagaimanapun, Turk mengakui wujudnya perkembangan yang menggalakkan di Malaysia teramasuk pengumuman kerajaan untuk memberi dokumen pengenalan diri kepada Pelarian Rohingya.
Sehingga ini, terdapat hampir 30,000 pelarian di negara ini yang dikategorikan sebagai sebahagian daripada 1.2 juta pendatang tanpa izin.
Suhakam dan UNHCR juga mencadangkan kepada kerajaan supaya mencontohi langkah yang diambil oleh negara jirannya Thailand yang membenarkan pelarian Burma bekerja di negara itu.

