Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perlis rayu wujud semula zon aliran bebas di Wang Kelian
Diterbitkan:  Dec 4, 2015 5:44 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Kerajaan negeri Perlis merayu agar kerajaan pusat memberi pertimbangan untuk mewujudkan semula Zon Aliran Bebas (ZAB) di Wang Kelian bagi menarik ramai pelancong berkunjung ke pekan sempadan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri Abdul Jamil Saad berkata permohonan tersebut telah dipanjangkan kepada Kementerian Dalam Negeri dan difahamkan ia masih dalam proses pertimbangan.

Bercakap kepada pemberita di Kangar, beliau berkata ketika ZAB diwujudkan di pekan berkenaan beberapa tahun lalu, Wang Kelian menjadi tempat tarikan pelancong bukan sahaja dari Malaysia, malah juga dari Thailand.

Di bawah kemudahan tersebut, rakyat dari kedua-dua negara bebas keluar masuk pada jarak satu kilometer dari pintu sempadan masing-masing pada hari diadakan pasar minggu iaitu Sabtu dan Ahad di Wang Kelian dan Wang Prachan, Thailand.

Katanya, pelancong Thailand ramai berkunjung ke kedai-kedai di Wang Kelian untuk membeli barangan elektrik yang dikatakan harganya lebih murah berbanding di negara mereka.

Jamil berkata sejak ZAB ditarik balik oleh kerajaan pusat April lalu, pekan itu kini lengang, justeru, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memeriahkan kembali kawasan itu untuk menarik kehadiran pelancong.

Beliau berkata antara usaha yang dilakukan ialah membaik pulih dan menaik taraf arked niaga di pekan tersebut bagi memindahkan peniaga-peniaga yang dahulunya mempunyai perniagaan kukuh di kawasan ZAB.

"Kita memohon peruntukan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk membaik pulih arked itu memandangkan keadaan bangunan itu sekarang kurang memuaskan.

"Kerajaan negeri akan pilih dan beri tawaran semula kepada peniaga yang kukuh berniaga di situ untuk dipindahkan ke arked berkenaan," katanya.

Beliau berkata antara perniagaan yang dicadang untuk ditawarkan berpindah ke arked niaga itu ialah perniagaan barangan elektrik, perkakas pertukangan, barangan dapur dan pengurup wang.

ZAB di Pos Imigresen Wang Kelian diberhentikan berkuat kuasa 1 April lepas.

Jabatan Imigresen memaklumkan semua warga Malaysia dan pelawat asing yang ingin keluar masuk sempadan melalui pos imigresen berkenaan perlu mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS