Mahkamah Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman denda RM50,000 ke atas Tampin Shopping Centre Sdn Bhd atas kesalahan menaikkan harga produk pewangi untuk mendapatkan keuntungan lebih, pada Mei lepas.

Pengarah syarikat itu, Lai Chun Lai @ Lai Phark Foong (he), 66, yang hadir mewakili pusat beli-belah itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap syarikat berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Zaileen Nadia Zubir mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (a) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda maksimum RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, pada pukul 3.10 petang, 11 Mei lepas, Tampin Shopping Centre Sdn Bhd, Jalan Besar, Tampin didakwa telah mencatut dalam menjual Ambi Pur Gel Fresh Lavender 180 gm single pack pada harga RM11 dari harga RM8.90.

Melalui kenaikan harga itu syarikat itu didakwa telah membuat keuntungan sebanyak RM2.38 iaitu kenaikan margin keuntungan bersih dari RM1.83 ke RM4.21.

Dengan itu syarikat berkenaan didakwa gagal mematuhi Peraturan 2 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme untuk Menentukan Keuntungan Tinggi yang Tidak Munasabah)(Margin Keuntungan Bersih) 2014.

Tampin Shopping Centre Sdn Bhd diwakili peguam Chow Choon Chiew.

- Bernama