NGO perjelas kenapa teks BM tak boleh seragam
Penyeragaman buku teks bahasa Malaysia (BM) tidak boleh dibuat kerana pengajaran di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan India (SJKT) memerlukan pendekatan berbeza, kata sekumpulan NGO.
Kenyataan bersama 11 kumpulan, termasuk NGO Cina dan India, mengingatkan bahawa penggunaan bahasa Malaysia di sekolah vernakular berbeza dengan sekolah kebangsaan yang diajar sebagai bahasa pertama.
“Kami membantah keras penyeragaman silibus BM yang digunakan di SK dan SJK,” menurut kenyataan itu.
“Pendirian kami, penyeragaman BM di SJKC dan SJKT patut seperti bahasa kedua dan pedagogi diguna sepatutnya berbeza dengan sekolah kebangsaan yang mana BM diajar sebagai bahasa pertama pelajar.”
Kumpulan itu bagaimanapun mengakui usaha perlu dibuat untuk mempertingkat mutu pengajaran BM di sekolah jenis kebangsaan menggunapakai rancangan menyeluruh dan tetapi berperingkat-peringkat.
Antara pihak yang terlibat dalam pengeluaran kenyataan itu termasuk Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Persatuan Bekas Siswazah Universiti dan Kolej di China, Malaysia (LiuHua), Yayasan Tamil Malaysia dan Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN).

