Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan akan terus berbelanja dalam bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, dalam isu yuran universiti, kerajaan pernah menaikkannya sejak sekian lama bagi membolehkan rakyat mendapat akses kepada pendidikan.

"Saya bagi jaminan kita akan terus berbelanja dalam pembangunan modal insan dalam apa jua keadaan.

"Yuran universiti tak boleh naik. Yang lain boleh naik, tol boleh naik, yuran universiti tak boleh naik, dari zaman dulu sebelum saya jadi menteri pelajaran sampai hari ini tak naik, yuran universiti tak naik sebab apa?

"Sebab kita nak yang terbaik untuk untuk pembangunan modal insan," ujar Najib disambut tepukan gemuruh mahasiswa yang hadir.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi.

Selain itu, presiden Umno itu turut memberitahu sekumpulan mahasiswa, parti Melayu itu berjuang melaksanakan tanggungjawabnya menyediakan pekerjaan bergaji tinggi di seluruh dunia untuk mereka.

Menurut Najib, melihat perkara tersebut berlaku apabila Turkmenistan mendapatkan bantuan kepakaran Petronas dan syarikat minyak nasional itu menempatkan jurutera mereka di sana.

"Tanggungjawab kita hari ini menyediakan kerja bergaji tinggi di seantero dunia untuk saudara-saudara sekalian. Dan kita ada pelan spesifik.

"Kita bukan sahaja ada wawasan, kita ada pelan untuk anda. Dan masa hadapan dan pelan kami berhasil. Dan kami boleh melaksanakannya. Inilah dia perjuangan Umno," kata Najib.

Hadir sama isterinya, Rosmah Mansor, yang juga penaung Yayasan Minda, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Biro Pendidikan Umno, Tan Sri Ibrahim Abu Shah.

Sebanyak 225 mahasiswa universiti awam dan swasta menyertai Persidangan PEMANAS siri ketiga itu anjuran Biro Pendidikan Umno dan Yayasan Minda.

Ia bertujuan mengenal pasti tahap amalan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa dan juga melahirkan pemimpin yang berkarisma dan berfikiran strategik, cekap dalam pengurusan, perancangan dan kaedah membuat keputusan.