Pejuang pemisah dilatih di Malaysia, kata Thaksin
Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra, mendakwa sesetengah daripada militan Islam yang disyaki menjadi pejuang pemisah di Selatan Thailand dilatih di Malaysia.
Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra, mendakwa sesetengah daripada militan Islam yang disyaki menjadi pejuang pemisah di Selatan Thailand dilatih di Malaysia.
Thaksin juga mengenalpasti seorang pengetua sekolah agama yang menjadi orang buruan pihak berkuasa, disyaki menjadi perancang utama gerakan pemisah di kawasan majoriti orang Islam di selatan negara itu di mana pergolakan yang berlaku telah mengorbankan 569 orang tahun ini.
"Jika anda bertanya kepada saya di mana mereka ini dilatih, sudah pasti salah satu kumpulan itu dilatih di Malaysia, tetapi kita percaya ianya dilakukan tanpa pengetahuan atau sokongan kerajaan Malaysia," katanya kepada wartawan.
"Mereka dilatih di kawasan hutan di Kelantan di sekolah-sekolah agama di sana," katanya.
Taksin berkata keganasan itu membabitkan gerakan pemisah di negara itu, tetapi beliau turut menyatakan kebimbangannya mengenai kemungkinan sesetengah aktivis Islam berlindung di Malaysia.
Kelantan adalah satu-satunya daripada 13 negeri di Malaysia yang diperintah oleh parti pembangkang PAS, dan bersempadan dengan wilayah selatan Thailand. Majoriti rakyat Thai beragama Buddha.
Rusuhan
Awal bulan ini, seorang wakil rakyat Malaysia mendakwa kumpulan pemisah di selatan Thailand Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani mendapat sumbangan RM120,000 daripada Pertubuhan Kebajikan Islam cawangan Kelantan.
Malaysia bagaimanapun berulangkali menegaskan bahawa ia tidak menyokong perjuangan kumpulan pemisah di negara itu.
Malah, kedua-dua negara berjiran itu telah berikrar untuk bekerjasama rapat, khususnya untuk mengesan dan menyekat pergerakan kumpulan militan di sempadan masing-masing.
"Tetapi kerana kita mempunyai sempadan bersama, orang ramai bebas menyeberanginya. Sesetengahnya mempunyai keluarga di kedua-dua belah sempadan, dan kerana itulah ada rakyat Malaysia yang marah dengan peristiwa Tak Bai," katanya.
Pasukan Keselamatan Thai telah meleraikan satu rusuhan di bandar Tak Bai Oktober yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 87 perusuh terbunuh, sebahagian besarnya ketika mereka dilonggokkan beramai-ramai dalam trak tentera.
Semalam, pihak berkuasa Thai mengumumkan yang mereka telah memberkas empat guru agama yang disyaki merancang 'keganasan' di wilayah Selatan. Mereka dibawa ke Bangkok hari ini untuk didakwa di mahkamah.
Hari ini, Thaksin menuduh orang kelima yang disyaki terbabit sama seorang pengetua sekolah agama Sapae-ing Baso yang berjaya melepaskan diri sebagai ketua perancang tersebut.
"Berdasarkan kepada soalsiat adalah jelas dia, Sapae-ing, adalah ketua gerakan tersebut," kata Thaksin.
Beliau juga berkata pasukan keselamatan sedang memburu 100 orang lagi untuk ditahan, yang disyaki menjadi pejuang pemisah.
- AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.