Amat memualkan, kata Maria Chin
Siapa sangka untuk tempoh tiga bulan terakhir pengerusi dan bekas pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dan Datuk S Ambiga sukar tidur malam gara-gara mesej dan panggilan seks melalui telefon bimbit.
Perkara itu diakui mereka setelah nombor telefon mereka diletakkan bersama iklan perkhidmatan seks , seperti didedahkan oleh aktivis dan pegawai BERSIH Mandeep Singh hari ini.
Malah, kata Maria, bimbang panggilan kecemasan beliau terpaksa menjawab panggilan telefon yang diterima pada awal pagi antara jam 2 hingga 4 pagi.
“Mereka tanya berapa harga, adakah saya boleh layan dan perkara-perkara macam itu,” katanya yang berkata ia berterusan sejak perhimpunan BERSIH 4 pada Ogos lalu.
“Permintaan juga datang dalam bentuk mesej WhatsApp,” katanya kepada Malaysiakini .
“Mesej yang amat memualkan.”
Berkongsi pengalaman buruknya, Ambiga mengakui menerima panggilan dan mesej “aneh” pada waktu tengah malam.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku sehingga Mandeep berkata perkara sama berlaku padanya dan Maria dan dia rasa nombor telefon kami diletakkan di mana-mana,” katanya.
Maria dan Ambiga bagaimanapun memutuskan untuk tidak menukar nombor telefon mereka tetapi lebih berhati-hati menerima panggilan, terutamanya pada lewat malam.
Sementara itu, Mandeep berkata seorang pemanggil memaklumkan bahawa nombor telefonnya dipamer di dinding-dinding di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur, yang dikaitkan dengan aktiviti pelacuran.

