Anggota Parlimen (MP) Tanjong Ng Wei Aik menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat jika penambahbaikan Parlimen dilaksanakan tahun depan.

Menjawab gesaan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mahu beliau dan MP Segambut Lim Lip Eng meletakkan jawatan, Ng berkata beliau tidak akan berdiam diri malah akan terus bersuara untuk menyampaikan suara rakyat pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

"Belum pernah kes seumpama ini (gesaan meletakkan jawatan) berlaku dan sebagai Speaker Dewan Rakyat, beliau hendaklah menjalankan tanggungjawabnya dengan memberi peluang kepada anggota Parlimen untuk membentangkan usul.

"Tetapi beliau tidak melakukannya atas alasan tidak mampu untuk melaksanakan reformasi Parlimen dalam sesi ini kerana kesuntukan masa," katanya katanya dalam sidang media di George Town hari ini.

Ng mendakwa Speaker Dewan Rakyat itu berang terhadap beliau dan Lim kerana kegagalannya sendiri tidak mengotakan janji melaksanakan pembentangan penambahbaikan pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Rentetan kejadian tersebut kami pula digesa untuk meletakkan jawatan walhal itu adalah disebabkan oleh kegagalan beliau sendiri dalam menjalankan tugas Speaker," katanya.

Sebuah portal berita pada 5 Disember lepas melaporkan Pandikar Amin mendesak dua anggota Parlimen DAP itu meletakkan jawatan jika penambahbaikan Parlimen dilaksanakan pada tahun depan.

"Saya nak mereka letak jawatan atau mengosongkan kerusi mereka jika pada fasa pertama pembaharuan akan dilaksanakan pada awal tahun depan dalam sesi Parlimen.

"Jika mereka tidak letak jawatan, walaupun mereka bangun beratus kali mahu bercakap atau turut berbahas, saya tidak akan jemput untuk bercakap di bawah Peraturan Mesyuarat 35," kata Pandikar Amin.

Gesaan itu dibuat selepas dua anggota Parlimen terbabit mendakwa Pandikar Amin gagal menunaikan janji untuk membentangkan pembaharuan Parlimen kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

- Bernama