Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asri: Isu khalwat marah, kepentingan awam tidak
Diterbitkan:  Dec 9, 2015 5:12 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Mufti Perlis menyindir pihak yang mengkritiknya kerana mengeluarkan kenyataan selari dengan sekumpulan Melayu ternama (G25) dalam isu penguatkuasaan undang-undang syariah.

Tanpa menyebut kesnya secara jelas, Datuk Dr Asri Zainul Abidin membangkitkan isu berkaitan kepentingan awam apabila terdapat pihak menyebut dokumen penting tidak boleh didedahkan.

“Akaun peribadi sekalipun dipersoalkan oleh awam tidak boleh didedahkan. Laporan-laporan siasatan penting kepada awam tidak boleh didedahkan.

“Sesiapa yang mendedahkan patut diambil tindakan. Tidak pula kedengaran dalil agama membantah hal ini,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk kontroversi kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebuah lagi kontroversi apabila seorang pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2015 (Sosma) selepas membuat laporan polis berkaitan isu 1MDB di pelbagai negara.

“Mungkinkah atas alasan bersangka baik dalam harta awam tapi tidak dalam hal peribadi rakyat yang lemah?

“Ramai orang agama marah bila pengintip khalwat diganggu tapi tidak menzahirkan marah apabila penyiasat kepentingan awam diganggu dan diambil tindakan,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau mungkin merujuk kepada pemindahan keluar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kontroversi sekitar isu 1MDB.

Kelmarin, G25 menuntut sebuah jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi membincangkan pindaan atau pemansuhan beberapa undang-undang syariah.

Ia dilaporkan termasuk hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang menurut mereka melanggar hak kebebasan dan privasi individu seseorang seperti termaktub dalam perlembagaan.

Ketika kecoh isu gesaan pemansuhan hukuman pada pesalah khalwat di rumah, Asri tampil mengingatkan berhubung larangan mengintip kesalahan orang lain.

Pandangan Asri itu dilihat bertentangan dengan seorang lagi mufti kanan Tan Sri Dr Harussani Zakaria daripada Perak yang menyarankan G25 bertaubat kerana cadangan mereka boleh membawa kepada murtad.

Kemas kini pentadbiran agama

Sementara itu, Asri juga mempertikaikan pendirian “tokoh agama itu” yang didakwanya berdiam diri terhadap masalah rakyat, seperti kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang tinggi.

“Bahkan ada yang sekadar menyebut 'jangan pertikai, bersyukur dengan keadaan yang ada'.

“Bimbang nanti ramai akan bertanya; apakah sebenarnya hakikat Islam itu?” sindirnya lagi.

Sementara itu, mengulas gesaan G25, beliau berkata walaupun tidak bersetuju dengan reaksi beberapa tokoh agama dalam isu itu, “namun kemas kini urusan pentadbiran agama masih perlu dilakukan. ”

“Isu privasi dan dosa peribadi itu ada asas perbincangannya dalam syarak, namun semua pihak hendaklah memahaminya dengan betul.

“Tidaklah boleh kita bersetuju dengan kenyataan 'salah seorang' yang menyebut minum arak itu sesuatu yang tidak wajar dipertikaikan seperti 'zaman-zaman' dahulu,” katanya.

Asri terkenal sebagai seorang ulama yang berterus terang dalam pelbagai isu, termasuk perkembangan politik dan ekonomi dalam negara.

AGAK MENARIKAgak menarik dengan reaksi tegas tokoh-tokoh agama terhadap kenyataan G25. Walaupun saya sendiri tidak...

Posted by DrMAZA.com on Wednesday, 9 December 2015

Lihat Komen
ADS