SIS: Mengintip bercanggah dengan Islam

Aliah Ali        

ULASAN Dewasa ini, semakin ramai kalangan pembela agama dan pengamal undang-undang syariah yang cepat melemparkan kutukan dan tuduhan yang tidak profesional dan tidak berasas kepada pihak yang berusaha untuk memperbaiki sistem perundangan syariah di negara ini.

Sepatutnya, suara progresif ini disambut dengan baik kerana ia menyeru ke arah pembaharuan untuk membaik pulih undang-undang, serta hujah yang selari dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Rasullulah.

Perkara ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk membanteras gejala ekstremisme dan menjadikan Malaysia sebagai model negara bermajoriti Muslim yang mengamalkan Islam beraliran wasatiyyah.

Oleh itu, Sisters in Islam (SIS) berasa amat kesal apabila kritikan dan tohmahan biadap dilemparkan kepada kumpulan G25 selepas forum awam mereka, “Islam in a Constitutional Democracy.”

Antara kritikan yang dilontarkan kepada kumpulan tersebut termasuklah tuduhan bahawa kumpulan tersebut menggalakkan zina berleluasa dan menyeru agar kumpulan tersebut bertaubat.

SIS sekali lagi menegaskan bahawa operasi mencegah khalwat melalui intipan dan menjatuhkan maruah individu adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Apatah lagi sudah terdapat kes-kes tangkapan khalwat yang berakhir dengan kematian, malangnya tiada tindakan undang-undang dilaporkan diambil terhadap mereka yang mengakibatkan kehilangan nyawa tersebut.

Akta Kesalahan Jenayah Syariah terutamanya yang berkaitan dengan ‘moral policing’ amat bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak privasi yang dijamin dalam Islam.

Terdapat pelbagai surah dalam Al-Quran yang menunjukkan ini. Dalam Surah al-Hujurat (49:12), Allah berfirman: “Janganlah mencari rahsia orang lain”.

Dalam Surah an-Nur (24:27, 28), Allah berfirman: “Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih baik untuk kamu.”

Malah, tiada sumber akademik dalam sejarah Islam yang menguar-uarkan amalan mengintip dan mencari aib orang lain melalui ‘moral policing’.

Perbuatan mengintip juga melanggar hak rakyat hidup dalam negara demokrasi sepertimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Adalah amat dikesali apabila undang-undang jenayah Syariah di Malaysia dilaksana tanpa mengambil kira prinsip keadilan, hak privasi dan pembelaan maruah individu.

Sebaliknya, operasi khalwat dijalankan untuk menjatuhkan maruah individu atas dasar agama. Apa yang lebih dikhuatiri, serbuan khalwat ini lebih banyak disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah atau mereka yang dipinggirkan masyarakat.

SIS menyeru ahli pembela agama dan pengamal undang-undang ayariah untuk menerima kritikan konstruktif dan cadangan yang berlandaskan hujah Islamik.

Golongan ini juga harus bekerjasama untuk membaikpulih sebarang kepincangan dalam pentabdiran dan pelaksanaan undang-undang Syariah di Malaysia.

Kemaslahatan orang Islam akan lebih terbela apabila kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang membela hak asasi manusia dan menekankan sikap kasih sayang dan keinsafan.


ALIAH ALI pegawai komunikasi Sisters in Islam .

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In