Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naskhah buku kecil terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mengandungi bahan mendakwa BERSIH sebagai gerakan rasis diedarkan kepada orang ramai di Perhimpunan Agung Tahunan Umno hari ini.

Buku setebal 105 halaman itu juga memuji kumpulan baju merah sebagai 'patriotik'.

Berisi banyak gambar berwarna, buku berjudul Kebangkitan Baju Merah 16 September 2015 itu mendakwa perhimpunan yang diadakan di Kuala Lumpur pada tarikh berkenaan digerakkan oleh kumpulan patriotik serta warga Malaysia yang cintakan keamanan.

Kandungan buku itu menyatakan, Perhimpunan Rakyat Baju Bersatu Baju Merah berlaku adalah reaksi kepada tindakan sesetengah pihak yang berulang kali mencetuskan kekacauan serta provokasi melalui protes jalanan.

Sementara itu JASA - unit yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia - menggambarkan himpunan BERSIH sebagai "ganas, biadab, provokasi melampau" dan mengecemnya kerana enggan mengikut undang-undang.

"Peserta BERSIH biadab, mereka memukul dan menyerang pegawai keselamatan," kata salah satu keterangan gambar yang dimuatkan dalam buku berkenaan.

Ia mengiringi gambar seorang pegawai keselamatan berpakaian preman bergelut dengan seorang penunjuk perasaan berbaju kuning.

Sesetengah gambar itu diambil daripada BERSIH 3.0 pada 2012 yang bertukar ganas selepas peserta perhimpunan cuba merempuh sekatan polis di Dataran Merdeka.

Ekoran insiden itu polis melepaskan gas pemedih mata serta air kimia untuk menyuraikan orang ramai.

Buku itu juga menggambarkan BERSIH 4 - berlangsung tanpa kejadian tidak diingin - sebagai didalangi seorang pemimpin tidak bermoral.

"BERSIH diresapi kumpulan LGBT. BERSIH 4 mengulangi dan mencontohi provokasi 13 Mei," kata buku itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS