Hasutan: Aktivis Pemuda Keadilan ditangkap awal pagi
Seorang aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional ditangkap di rumahnya jam 3.30 pagi tadi dan ditahan reman sembilan hari bagi siasatan di bawah Akta Hasutan.
Naib Ketua Pemuda bahagian Teluk Intan, Azman Marjohan, 32, kini ditahan di balai polis Taiping, Perak selepas dibawa dari balai Teluk Intan.
Azman dikehendaki polis di bawah seksyen 4 (1) (b) atau kesalahan "mengeluarkan kata-kata yang bersifat menghasut" ketika satu ceramah politik di Taiping pada 23 Mei lalu.
Beliau ditahan reman hingga 6 Jun depan.
Menurut isterinya, Ismasuria Kamaruzaman, lebih kurang 10 anggota polis, sebahagiannya berpakaian biasa, datang ke rumah mereka di Pekan Baru, Teluk Intan pada awal pagi tadi dengan waran tangkap.
Menurutnya lagi, Azman dibawa ke Taiping pada 12 tengahari tadi.
Seseorang yang didapati bersalah di bawah seksyen ini boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Naib Ketua Pemuda Keadilan Hamdan Taha, juga ketua bahagian itu, mempertikaikan tindakan polis menangkap aktivis Pemuda itu pada awal pagi sedangkan kes itu tidak memerlukan tindakan seumpama itu.
Awal Mac lalu, Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor didakwa di bawah akta yang sama ekoran satu kenyataannya seperti dilaporkan oleh akhbar Mingguan Malaysia . Beliau kini ditahan selama 48 hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama sembilan pemimpin parti itu dan aktivis reformasi.
Sejak awal tahun lalu beberapa pemimpin kanan pembangkang dan editor Harakah , Zulkifli Sulong didakwa di bawah Akta Hasutan.
Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh akan mula dibicarakan pada 16 Oktober depan.
Sementara bekas Naib Presiden Keadilan Marina Yusoff didenda RM5,000 pada Februari lalu selepas didapati bersalah di bawah akta itu.

