Ujian dan kritikan dari segenap sudut yang dilontarkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib merupakan ujian daripada Allah, kata Perwakilan daripada Kedah Datuk Othman Aziz.

“Jadi saya nak habaq (beritahu), perdana menteri ini kan bukan semua boleh jadi PM. Cuma seorang sahaja dia, sebab itu Allah Taala pilih dia ini, sebab dia ini insan terpilih.

“Sebab itulah sebagai PM Datuk Seri Najib dia diasak kiri kanan depan belakang atas bawah. Sebab dia PM. Cuba kalau kita (diuji), kita lari awal,” katanya yang disambut tepukan perwakilan yang hadir.

Katanya lagi, Najib mampu menggalas tugas kerana kehebatan dalam bidang pengurusan.

“Datuk Seri Najib ini dia atas kehebatan profesional pengurusan, dia ada perwakilan dan tools of management , konsep pengurusan dia delegate ,” katanya.

Justeru, beliau menggesa agar kesemua ahli parti mencari ilmu, malah mengingatkan supaya ketua bahagian masing-masing membuat kerja seperti ‘yang berhormat’ dan juga menteri.

Kerana menurutnya Najib memerlukan bantuan dalam pengurusan.

“Kadang kita rasa kita boleh. Itu memang digalakkan sebab kita disuruh tambah ilmu. Yang kita bukan kerja kita kita jangan dok buat. Sebagai ketua bahagian pi cara YB, cara menteri besar. Atur elok dah.

“Jadi kita ni ada sense of belonging . Ada hak bersama. Kita parti besar, Datuk Seri tak boleh buat kerja seorang.

“Saya nak minta balik kepada asas. Kita kena buat kerja dengan ikhlas. Kita mai (datang) ini pun sebab kita anggap sebagai ibadat. Perjuangan kita ini satu ibadat,” katanya.