Perwakilan: Gerak segera pusat daerah mengundi
Umno perlu menggerakkan pusat operasi dan pusat daerah mengundi (PDM) di setiap cawangan dengan segera sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata wakil pergerakan Wanita Umno.
Ketua Wanita Umno bahagian Sembrong, Johor, Noraslina Zainal Abidin berkata gerak kerja secara berfokus perlu dilakukan mulai sekarang dengan perhatian utama diberikan kepada golongan sasar dan kubu kuat 'simpanan tetap' Barisan Nasional (BN) seperti kluster pengundi di tanah rancangan Felda.
Merujuk kepada pilihan raya kecil Rompin Mei lepas, beliau berkata, kemenangan BN tidak memberangsangkan apabila pelbagai isu berkaitan Felda dimainkan pembangkang pada saat-saat akhir.
"Kajilah dan perhalusilah kemerosotan pengundi ini. Jangan kita berada dalam sindrom penafian. Fahamilah suara hati dan denyut nadi pengundi Felda di 54 Parlimen, yang sepatutnya menjadi benteng pertahanan Melayu," katanya semasa membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada hari kedua perhimpunan agung Umno 2015 di PWTC.
Tumpuan juga perlu diberikan kepada pengundi di kawasan kampung tradisi dan warga pendidik, katanya.
Noraslina berkata Umno juga perlu meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi bagi mematahkan dakyah pembangkang menerusi media sosial.
"Berupayakah Umno menyalurkan maklumat dan penjelasan ke peringkat akar umbi menerusi laman sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter, yang menjadi medium popular masa kini.
"Apa sudah jadi dengan agenda pasukan Gelombang Biru kita yang diharapkan dapat memintas Red Bean Army DAP? Adakah kita kalah dan melarikan diri daripada perang siber?," katanya.
Noraslina turut mencadangkan agar calon Wanita Umno ditambah menjadi sekurang-kurangnya 29 peratus daripada keseluruhan calon bertanding.
Katanya ini berdasarkan kepada keputusan PRU lalu, di mana lapan daripada 10 wanita bertanding kerusi Parlimen dan 25 daripada 35 calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya memenangi kerusi masing-masing, menunjukkan pengundi dapat menerima calon wanita.
Beliau turut mencadangkan supaya undi pos dibuka kepada kakitangan sektor kesihatan kerana mereka tetap bertugas pada hari pengundian, dengan majoriti petugas adalah jururawat wanita.
- Bernama

