9 dilarang bertanding enam tahun dalam Umno
Shakira Buang
Sembilan ketua cawangan dalam Umno Telok Kemang yang mendesak pengunduran Datuk Seri Najib Razak kehilangan hak memilih dan dipilih sebagai seorang pemimpin parti selama enam tahun.
Menurut jurucakap Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia, Datuk Mohd Zain Mustapa keputusan lembaga disiplin Umno itu diterima mereka pada 3 Disember lalu,
Ia, kata Mohd Zain, memaklumkan tindakan penggantungan berkenaan berkuat kuasa 2 Disember, hari yang sama mereka dipanggil jawatankuasa disiplin parti.
"Ini bermakna kami tidak dapat bersuara sebagai ahli Umno selama enam tahun dan ia jelas menunjukkan demokrasi sudah mati dalam Umno apabila kepentingan peribadi diletakkan atas kepentingan parti.
“Inilah hasilnya.
"Dengan jelas tindakan ini diambil bagi menutup mulut kami daripada menyuarakan perkara yang benar berkenaan Umno," katanya pada satu sidang media di lobi Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Justeru, Ketua Umno cawangan Taman Datuk Haji Abdul Samad itu mempersoalkan di manakah sifat budiman ( gentleman ) presiden Umno sehingga orang yang mengkritiknya perlu dihukum.
“Dalam ucapan Datuk Seri Najib semalam, beliau ada menyebut beliau seorang gentleman . Nampaknya beliau keliru dengan maksud sebenar gentleman .
"Di manakah gentlemen presiden sehingga orang yang mengkritiknya perlu dihukum seperti kami?" soalnya.

