PM diminta tangguh dua bulan kenaikan tol
Akhbar Sin Chew Daily menyiarkan di muka 9 (Dalam Negeri), kenyataan bersama Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, pemimpin parti pembangkang dan badan bukan kerajaan yang meminta Perdana Menteri menangguhkan selama dua bulan tarikh kenaikan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan, bagi mengkaji kesannya terhadap orang ramai.
Akhbar Sin Chew Daily menyiarkan di muka 9 (Dalam Negeri), kenyataan bersama Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, pemimpin parti pembangkang dan badan bukan kerajaan yang meminta Perdana Menteri menangguhkan selama dua bulan tarikh kenaikan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan, bagi mengkaji kesannya terhadap orang ramai.
Mereka berpendapat Perdana Menteri yang kini dalam lawatan ke India harus berpegang kepada janjinya sewaktu pilihanraya lalu, untuk mendengar suara rakyat dan memastikan sebuah kerajaan yang adil, berfikiran terbuka, dan bertanggungjawab.
Lim bersetuju untuk menubuhkan"Jawatankuasa Membantah Kenaikan Kadar Tol" selepas bermesyuarat dengan pemimpin parti bembangkang dan badan bukan kerajaan di bilik mesyuarat Bangunan Parlimen semalam.
Jawatankuasa yang dipengerusi Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok itu telah merangka aktiviti peringkat awal untuk menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan membenarkan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus mulai 1 Januari ini.
Ia termasuk menghantar memorandum kepada Plus (22 Dis), perhimpunan aman secara besar-besaran di seluruh negara (26 Dis) dan mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya (27 Dis).
Teresa Kok berkata, permintaan supaya kenaikan tol tersebut ditangguhkan, akan dihantar kepada Perdana Menteri yang kini berada di India melalui emel atau cara lain yang lebih cepat.
Beliau berkata, jika pada 27 Dis ini, kerajaan tidak menunjukkan keinginan untuk menangguhkan selama dua bulan tarikh kenaikan kadar tol, maka jawatankuasa tersebut akan membincangkan cara penyelesaiannya pada hari itu juga.
Jawatankuasa tersebut memberi tiga sebab mengapa ia membantah kenaikan kadar tol tersebut:
1. Pengaliran kenderaan dalam negara telah melebihi anggaran 7.5 kali. Ini bermakna keuntungan syarikat lebuhraya itu juga meningkat 7.5 kali jauh melebihi anggaran keuntungan Plus.
2. Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu telah memberikan maklumat yang salah. Berdasarkan pampasan tahunan yang perlu dibayar kepada Plus yang berjumlah RM154 juta jika kerajaan membantah kenaikan kadar tol, kerajaan hanya perlu membayar pampasan selebih-lebihnya RM 5 bilion selepas 33 tahun, bukan RM 38 bilion sepertimana dikatakan oleh beliau.
3. Keizinan pengurusan khas yang diterima Plus bermula pada bulan Mei 1998, berterusan selama 30 tahun. Jangkamasa keizinan itu ditambahkan 12 tahun pada 1999 (sepatutnya berahkir pada tahun 2030), tetapi Menteri Kerja Raya memberitahu pihak media, Plus akan menerima pampasan dari kerajaan sehingga 2038. Ini menunjukkan kerajaan telah menangguhkan jangkamasa keizinan pengurusan khas Plus sebanyak 8 tahun secara rahsia.
Akta Pendidikan baru perbetul disiplin pelajar
Akhbar Nanyang Siang Pau pula melaporkan di muka A3 (Nasional) mengenai kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Hon Choon Kim bahawa Menteri Pelajaran akan merangkakan akta pendidikan yang baru unutk menyelesaikan masalah disiplin sekolah.
Katanya, akta yang berkaitan masalah disiplin pelajar adalah Akta Pendidikan 1959 (Disiplin Sekolah). Pada masa ini, Kementerian Pelajaran berasa perlunya dirangka akta baru yang dapat memenuhi keperluan semasa supaya dapat membaikpulihkan keadaan disiplin sekolah.
Apabila ditanya kuasa yang diberikan oleh akta baru, beliau berkata ia sedang dirangka. Pada masa yang sama, akta tersebut memerlukan persetujuan menteri sebelum dilaksanakan.
Hon memberitahu perkara itu kepada pihak media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Khas Menyelesaikan Masalah Disiplin Sekolah, semalam.
Beliau yang mengetuai kumpulan kerja undang-undang dan cara pelaksanaannya, berkata semasa merangkakan akta baru dan meminda undang-undang, Kementerian Pelajaran akan mendengar cadangan daripada kerajaan serta agensi kerajaan.
Selain itu, Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein berkata, kumpulan kerja tersebut akan mencadangkan pindaan terhadap akta dan peraturan yang berkaitan tempat hiburan, termasuk kafe berinternet.
Tambahnya, kumpulan kerja itu juga bercadang untuk meminda Akta Polis, Akta Belia, Akta Pendidikan 1996, Akta Kerajaan Tempatan, dan akta-akta lain yang berkaitan bagi menyelesaikan masalah disiplin sekolah yang kian merosot.
"Kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyelesaikan masalah disiplin pelajar di luar kawasan sekolah," ujarnya.
Kementerian Pelajaran telah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Khas Menyelesaikan Masalah Disiplin Sekolah awal tahun ini. Pada masa yang sama, empat kumpulan kerja ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah disiplin sekolah secara efektif.
Datuk Hishammuddin berkata, cadangan setiap kumpulan kerja akan direalisasikan secara jangkamasa pendek, jangkamasa pertengahan, dan jangkamasa panjang.
Pelaksanaan jangkamasa pendek akan dilakukan tahun depan manakala pelaksanaan jangkamasa pertengahan dimasukkan dalam Pelan Malaysia ke-9 dan pelaksanaan jangkamasa panjang pada 2010.
Penjagaan alam sekitar
Manakala di muka A4 (Nasional), Nanyang Siang Pau melaporkan mengenai kesedaran kitar semula rakyat yang lemah, menyebabkan perbelanjaan besar diperlukan untuk mengimport bahan terguna.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata secara puratanya, negara kita mengimport 1,200 tan bahan plastik terguna dan 4,800 tan kaca.
Pada tahun 2002, bilangan pengimportan kertas terguna mencapai 79,1490 tan, iaitu berkurangan daripada 1,012,644 tan pada tahun 2001.
Menurutnya, Malaysia mengimport banyak bahan terguna dari luar negara setiap tahun untuk dijadikan bahan asli pemprosesan, dan jika ia terus meningkat, maka lebih 'sampah' akan diwujudkan.
Keadaan ini, memberi kesan buruk kepada alam sekitar, seperti masalah pencemaran air, pencemaran udara, dan pelepasan gas toksik, katanya selepas majlis pelancaran "Beg Membeli-belah Kitar Semula" semalam.
Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggalakkan pihak swasta dan organisasi bukan kerajaan mengambil bahagian dalam aktiviti kitar semula bahan terguna.
Selain itu, katanya, kementerian tersebut juga menggerakkan seluruh rakyat untuk mengamalkan cara hidup "3R" megurangkan, guna semula dan kitar semula serta menggunakan produk yang memberi kurang kesan terhadap alam sekitar.

