Umno biayai sendiri bangunan Umno Sabah
Pembinaan Bangunan Umno Sabah di Kota Kinabalu yang menelan belanja kira-kira RM40 juta dibiayai sepenuhnya oleh Umno negeri dan parti itu tidak pernah memaksa ahli perniagaan memberikan sumbangan kewangan untuk menjayakannya.
Pembinaan Bangunan Umno Sabah di Kota Kinabalu yang menelan belanja kira-kira RM40 juta dibiayai sepenuhnya oleh Umno negeri dan parti itu tidak pernah memaksa ahli perniagaan memberikan sumbangan kewangan untuk menjayakannya.
Umno Sabah juga menguruskan sepenuhnya akaun perbelanjaan bangunan tersebut yang dimajukan oleh syarikat Sabico Sdn Bhd dan dijangka siap selewat-lewatnya pada tahun 2006, kata ahli jawatankuasa kecil pembinaan bangunan Umno Sabah, Datuk Masidi Manjin.
Menurutnya, Umno Sabah mencari sendiri sumber kewangan untuk
membina bangunan
tersebut yang terletak di Sembulan.
"Umno Sabah tidak pernah meminta atau memaksa peniaga, usahawan mahupun korporat di Sabah atau di tempat lain supaya memberikan sumbangan kewangan untuk membiayai pembinaan bangunan tersebut.
"Kita juga tidak mengeluarkan sebarang arahan ataupun surat kepada mana-mana pihak termasuk Umno bahagian untuk membenarkan mereka mengutip sumbangan bagi pihak Badan Perhubungan Umno Sabah untuk pembinaan tersebut," katanya.
Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, beliau berkata, jika ada pihak yang mengedarkan surat rayuan dari Umno Sabah atau mendakwa sebagai wakilnya, orang ramai perlu melaporkannya kepada pejabat perhubungan Umno negeri di Kota Kinabalu.
Khabar angin
Bagaimanapun, katanya, Umno Sabah tidak menolak sumbangan kewangan yang mahu diberikan oleh mana-mana pihak bagi melancarkan lagi pembinaan bangunan tersebut.
Masidi yang juga Ketua Umno Bahagian Ranau berkata, pihaknya ada terdengar cakap-cakap yang mengatakan Umno Sabah sedang melancarkan kutipan wang dari peniaga, usahawan dan korporat bagi pembinaan bangunan Umno tersebut.
"Kita sedang mencari orang yang menyebarkan berita jahat itu. Kita mahu mereka tunjukkan bukti adakah benar Umno Sabah memaksa orang memberi sumbangan untuk membiayai pembinaan banguna Umno Sabah," katanya lagi.
Pembinaan Bangunan Umno Sabah di Sembulan, Kota Kinabalu yang menelan perbelanjaan kira-kira RM40 juta menimbulkan tandatanya apabila tersebar berita bahawa Umno negeri memaksa peniaga memberikan sumbagan bagi membiayainya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pula dikatakan tidak membuat pengumuman mengenai sumber kewangan bagi membiayai pembinaan banguna tersebut.
Tapak Bangunan Umno Sabah seluas kira-kira 1.5 hektar bersebelahan Bangunan Bank Simpanan Nasional (BSN) itu adalah sumbangan Syarikat Accodon Sdn Bhd yang miliki oleh Mohd Sapawie Tussin, adik ipar Musa.
Ambil kesempatan
Menurut Masidi, Jawatankuasa Kecil Pembinaan Bangunan Umno Sabah yang dipengerusikan sendiri oleh Musa bertanggungjawab membuat laporan dari masa ke semasa mengenai tahap kemajuan pembinaan banguna tersebut.
Selain Musa dan Masidi, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Setiausaha Agung Umno, Sabah Datuk Yahaya Husin; Bendahari, Datuk Hajiji Noor; Ketua Penerangan, Datuk Abdul Rahim Ismail dan Datuk Yusof Yaakob.
Kata Masidi, ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dengan mendakwa dari Badan Perhubungan Umno Sabah untuk mengutip sumbangan kewangan dari ahli perniagaan dan korporat di Sabah.
"Mereka membuat janji kepada ahli perniagaan bahawa Umno Sabah akan memberikan projek kepada mereka jika mereka memberikan sumbangan kewangan bagi pembinaan bangunan tersebut," ujarnya lagi.
Beliau berkata, mereka yang membuat dakwaan ini mempunyai niat jahat iaitu untuk menjatuhkan beberapa pemimpin Umno Sabah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.