Hospital Al-Islam: Berlengan panjang tak kompromi kebersihan
Ia adalah satu salah faham untuk mengatakan bahawa jururawat yang memakai pakaian seragam berlengan panjang meningkatkan risiko jangkitan, kata pengarah Hospital Pakar Al-Islam, Dr Ishak Mas'ud.
Dr Ishak berkata, tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa berlengan panjang telah membawa kepada kadar jangkitan di hospital yang lebih tinggi, disebabkan oleh virus, bakteria atau kulat patogen.
Setakat ini, katanya, tiada bukti yang menunjukkan bahawa memakai pakaian seragam berlengan panjang mempunyai hubungkait dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi.
"Ia adalah satu salah faham," kata beliau.
"Malah di negara-negara yang lebih maju, di Eropah, tidak ada isu berkaitan pakaian berlengan panjang," kata Dr Ishak ketika ditemui di hospital di Kampung Baru, Kuala Lumpur minggu lalu.
Minggu lepas Hospital Damai (Melawati) disimbah dengan cat putih, selepas seorang jururawat mendakwa hospital itu memecatnya kerana enggan memakai baju seragam berlengan pendek yang mendedahkan auratnya.
Hospital ini berkata jururawatnya memakai pakaian seragam berlengan pendek untuk mengawal risiko jangkitan, dan ia memecat Naziah Sauni Samat atas sebab disiplin .
Menurut Ishak, kawalan jangkitan boleh dilakukan walaupun jururawat memakai pakaian seragam berlengan panjang dengan mematuhi sepenuhnya garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perkara itu.
WHO, jelas beliau, telah menyediakan satu garispanduan '5 Moments Hand Hygiene' yang perlu dipatuhi oleh semua jururawat dan kakitangan klinikal.
Garis panduan ini menyatakan bahawa tangan mesti dibasuh sehingga siku dan lengan pakaian seragam akan disinsing sewajarnya.
"Semua jururawat kami di sini mematuhi garis panduan itu," katanya sambil menambah selepas selesai prosdur mereka akan menutupnya semula.
Apabila bersama pesakit, kata Dr Ishak, juga tidak timbul isu dalam mematuhi garis panduan kawalan jangkitan yang sama yang memerlukan tangan mereka terdedah.
"Kami telah mengajar semua kakitangan kami pengetahuan asas mengenai konsep rukhsah (keringanan) dalam keadaan darurat (kecemasan).
"Ini terpakai kepada kedua-duanya ketika menjalankan tugas klinikal dan melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam di bawah keadaan terhad," jelas beliau.
Dengan pemahaman tentang konsep rukhsah (keringanan) dalam Islam, Ishak berkata, tidak akan ada isu aurat semasa melakukan atau menjalani prosedur klinikal, contohnya antara seorang doktor lelaki dan wanita yang bersalin.
"...kita juga ada jamak (menggabungkan solat apabila ia sukar untuk mengerjakan solat lima kali sehari), tayammum (berwuduk tanpa air apabila akses untuk mendapatkan air adalah terhad).
"Ini semua adalah keringanan yang boleh dilakukan mengenai bagaimana seseorang melakukan tanggungjawab tertentu di bawah keadaan tertentu," katanya.
Tambahnya, matlamat utamanya adalah untuk memastikan kedua-dua kakitangan dan pesakit boleh memenuhi tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim.
Hospital Pakar Al-Islam sebelum ini dikenali sebagai Kampung Baru Medical Center (KBMC) dan ia menjalani inisiatif penjenamaan semula pada tahun 2008.
Konsep 'hospital mesra ibadah' diperkenalkan sempena ulang tahun ke-10 KBMC dan kemudiannya diterima pakai oleh lebih banyak hospital swasta dan kerajaan.
"Sejak tahun 1989 kita telah memperjuangkan hak jururawat Islam untuk menutup aurat," kata Dr Ishak yang merupakan Presiden pengasas Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia.
Katanya, selepas mengemukanya kepada pihak kerajaan dengan pelbagai kajian dan bukti untuk menyokong gesaan itu, ia akhirnya diputuskan bahawa semua jururawat di hospital kerajaan akan memakai pakaian seragam berlengan panjang.
Pokoknya, Ishak berkata, yang paling penting ialah untuk mencerminkan nilai-nilai yang menunjukkan bagaimana Islam adalah rahmat bagi semua manusia.
Dr Ishak, bagaimanapun, mengakui bahawa setiap penyedia penjagaan kesihatan swasta mempunyai hak untuk menetapkan dasar sendiri yang juga perlu dihormati.
Katanya, jika polisi hospital itu tidak membenarkan lengan panjang, maka janganlah memohon bekerja di sana jika mahu memakai lengan panjang.
Di pusat perubatan beliau, kata Dr Ishak, semua jururawat yang beragama Islam dikehendaki menutup aurat, tetapi untuk kakitangan bukan Islam, mereka hanya memakai pakaian seragam lengan panjang dan topi jururawat.
Kes Naziah telah mendapat perhatian apabila dia mengadu kepada Persatuan Pengguna Islam (PPIM), dengan dakwaan diskriminasi itu.
Hospital Damai (Melawati) berkata Naziah dipecat kerana tidak hadir bekerja dua hari berturut-turut, dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap jururawat itu.
Naziah, bagaimanapun, berkata beliau tidak hadir bekerja kerana dia menerima surat penggantungan dan sedang membawa perkara kepada Jabatan Tenaga Kerja.

