Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Setakat ini PAS sepakat dengan Umno lawan LGBT
Diterbitkan:  Dec 14, 2015 11:45 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

PAS menyambut baik tali silaturahim yang dihulurkan Umno dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan dalam menegakkan ajaran Islam di negara ini, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya, kerjasama itu bakal membuka lembaran baru politik negara ini apabila kerajaan bersedia menerima pandangan dari pembangkang demi kebaikan umat Islam keseluruhannya, lapor Utusan Malaysia.

“Kita menerima apa yang disebut oleh perdana menteri kerana selama ini kita berada dalam padang politik yang tidak adil apabila cadangan pembangkang ditolak mentah-mentah kerana kerajaan merasakan sudah cukup untuk mereka sahaja yang memerintah.

“Kita menyambut baik (tali silaturahim), cuma kerjasama yang dituntut PAS adalah memastikan nilai-nilai agama menjadi teras kehidupan rakyat Malaysia, jadi kita akan menyokong kerajaan untuk melaksanakan apa sahaja program agama demi kepentingan bersama,” Nik Abduh dilaporkan sebagai berkata.

Tegasnya, kerjasama itu tidak akan mewujudkan blok politik baharu kerana PAS akan kekal sebagai pembangkang.

Bagaimanapun parti Islam itu sedia menjadi pengkritik atau pencadang kepada sistem pemerintahan kerajaan agar kelemahan yang ada dapat diperbaiki.

Sebelum ini, dalam ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agungnya mengajak PAS untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam yang sebenar.

Nik Abduh yang juga anak bekas mursyidul Am PAS berkata, antara perkara yang PAS telah lama bersetuju dengan Umno adalah menentang gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Parti lain sertai gabungan PAS-PKR

Sementara itu Sinar Harian melaporkan Nik Abduh sebagai berkata terdapat parti lain yang turut mahu menyertai gabungan PAS dan PKR.

Enggan mengulas lanjut, Nik Abduh bagaimanapun berkata, perkara tersebut tidak boleh didedahkan kerana ia masih dalam peringkat perbincangan.

"Memang saya tidak nafikan. Ada parti yang berminat dengan gabungan kami.

"Itu masih dalam perbincangan dan ia adalah antara perkara baharu yang kami buat dalam parti," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Naib presiden parti itu, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga sebelum ini membayangkan perkara hampir sama.

Gabungan PAS dalam Pakatan Rakyat sebelum ini musnah setelah perbalahan berpanjangan PAS dan DAP.

PKR dan DAP kemudian membentuk gabungan baru Pakatan Harapan bersama parti serpihan PAS, Parti Amanah Nasional (AMANAH).

PAS bagaimanapun mempertahankan kerjasama mereka dengan PKR.

Lihat Komen
ADS