355 mangsa banjir dipindahkan di Alor Gajah
Sebanyak 355 mangsa banjir daripada 91 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan di sekitar Alor Gajah dekat Melaka, setakat 9 pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah Mohammad Fairul Asikin Kadir berkata mangsa mula dipindahkan apabila kawasan berkenaan dilanda banjir bermula 8.40 malam tadi.
"Pusat pemindahan SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Seri Pengkalan menempatkan mangsa teramai iaitu 155 orang daripada 41 keluarga," katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.
Beliau berkata pusat pemindahan Dewan Masjid Ar Rashidin menempatkan 107 mangsa daripada 22 keluarga; Balai Raya Kampung Gadek menempatkan 83 mangsa daripada 25 keluarga dan Balai Raya Kampung Panchor menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.
- Bernama

