Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor meminta keluarganya bersedia menghadapi kemungkinan beliau ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak selepas siasatan selama 60 hari di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA).

Isterinya Bahirah Tajul Aris memberitahu malaysiakini hari ini, Ezam berpesan begitu ketika lawatannya semalam bersama tiga anak mereka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Lawatan ini kali kedua dibenarkan selepas lawatan pertama 7 Mac lalu. Ezam kini ditahan selama 48 hari.

Seorang lagi aktivis Pemuda parti itu yang turut ditahan ISA, N Gobalakrishnan menangis dan berkelakuan ganjil, kata isterinya R Vasanthi.

Beliau dan tiga anak perempuan mereka melawat pemimpin Pemuda itu di tempat yang sama petang semalam.

"Dia kelihatan tidak ceria dan tertekan, dan tidak seperti dirinya yang biasa. Saya rasa beliau mengalami tekanan perasaan. Apabila kami jumpa, dia menangis," kata Vasanthi kepada malaysiakini , sambil menambah Gobalakrishnan kelihatan kurus.

Sementara Abdul Ghani Haroon turut dibenarkan lawatan semalam. Bagaimanapun isterinya Roslizah Syed gagal dihubungi hari ini.

Pertemuan ini adalah kali pertama untuk dua aktivis Pemuda itu. Gobalakrishnan dan Abdul Ghani masing-masing ditahan pada 10 dan 11 April lalu. Setakat ini lapan tahanan yang lain dibenarkan lawatan sejak 3 Mei lalu.

Malaysiakini minggu lalu melaporkan seorang pegawai polis di Bukit Aman berkata "tunggu keputusan permohonan habeas corpus " dua aktivis itu selesai. Permohonan Gobalakrishnan dan Abdul Ghani itu akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Rabu ini.

Sejak minggu lalu, polis mula membenarkan lawatan kedua empat tahanan ISA. Selain Ezam, keluarga masing-masing melawat pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin, dan dua lagi pemimpin Keadilan Dr Badrul Amin Bahron serta Saari Sungib.

Mereka yang turut ditahan adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, pemimpin Pemuda Lokman Noor Adam, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan aktivis hak asasi Badaruddin Ismail.

Semua mereka ditahan antara 10 hingga 26 April lalu atas tuduhan "cuba menjatuhkan kerajaan melalui cara-cara yang militan." Parti-parti pembangkang dan keluarga mereka bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.