Tahun 2015 bakal melabuhkan tirai tidak berapa lama lagi. Tahun baru biasanya dijadikan ‘check point’ untuk membina azam baru dan meneruskan azam lama yang belum terlaksana sepenuhnya.

Ia bagus bagi insan yang bijak dalam membuat semak dan imbang serta muhasabah untuk kemajuan dan perkembangan diri. Namun malang untuk yang sekadar berazam untuk terus berazam!

Tahun 2016 mendatang bakal menjanjikan seribu satu harapan dan cabaran. Namun, kita menjadi saksi tahun 2015 merupakan tahun yang amat panjang untuk masyarakat terbanyak di Malaysia. Pelbagai mehnah dan ranjau telah kita tempuhi di bumi bertuah Malaysia ini.

Daripada isu politik, sosial, budaya sehinggalah ekonomi yang saling berkait. Suka duka ceria sebak itu semua menjadi ceritera kita. Ia menjadi sejarah untuk kita semua bahkan ia masih menjadi realiti yang sedang ditempuhi!

Hari-hari sudah menyaksikan kehidupan kita tidaklah sebaik seperti yang dicanang dan dipromosi. Yang diberi amanah oleh masyarakat meneruskan modal lama bagi mengekalkan status quo.

Janji intan berlian tinggal janji. Pelanggaran demi pelanggaran terhadap kebajikan dan hak asasi rakyat tetap berlaku.

Kebebasan dan hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan seperti terdapat dalam sembilan perkara pada bahagian kedua yang memperuntukkan kebebasan individu, bersuara, berhimpun, akademik dan beragama seakan dibakulsampahkan.

Hak-hak tersebut sepatutnya dihormati oleh semua serta dinikmati dengan aman dalam sebuah negara merdeka ini.

Pun begitu banyak hak dan kebebasan dijamin dalam Perlembagaan yang mana dijadikan sumber utama oleh pengamal undang-undang negara, harus sedar kita tidak sepatutnya hanya terikat kepada hanya satu dokumen dan menolak tepi dokumen-dokumen antarabangsa yang lain.

Retorik ‘wasatiyyah’

Sedangkan Malaysia merupakan sebuah negara ahli dan menerima pakai dokumen seperti Perisytiharan Universal Hak Asasi Manusia, Konvensyen Anti Diskriminasi terhadap Pendidikan, Konvensyen Hak Kanak-kanak mahupun Konvensyen Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita.

Selain dokumen Pelan Tindakan Rabat (RPA), kita juga ada bil hak asasi manusia lain seperti dua perjanjian antarabangsa untuk hak sivil dan politik (ICCPR) serta hak ekonomi, sosial dan budaya (ICESCR) bawah Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Penyertaan aktif negara dalam Suruhanjaya PBB bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) pada tahun 1993 sekali gus menjadikan Malaysia bertanggungjawab untuk menegakkan hak asasi manusia selaku penandatangan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Deklarasi Hak Asasi dalam Islam (CDHRI).

Malaysia juga menandatangani Amman Message 2006. Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa 2006 menyeru supaya diketepikan ketidaksepakatan, menghormati antara satu sama lain, menguatkan hubungan persaudaraan dan tidak membenarkan perpecahan kalangan mazhab-mazhab dalam Islam.

Mendengungkan kalam Prof Aziz Bari, kita sepatutnya melihat dan juga menilai perkembangan kesamarataan dalam komuniti secara menyeluruh dan sejagat.

Ini bukan sekadar hak asasi terpilih serta terhad kepada satu dokumen bertulis tertentu selain daripada tanggungjawab moral dan sosial yang diwarisi demi kemaslahatan bersama dalam sebuah masyarakat madani unik lagi majmuk.

Kesederhanaan atau dengan istilah kempen retorik ‘wasatiyyah’ sesetengah pihak hampir tinggal harapan palsu biarpun diuar-uar di seantero dunia kitalah negara moderat rantau ini.

Seakan kitalah hero mengecam radikalisme dan ekstremisme gerakan bersenjata radikal Negara Islam (IS), namun lupa radikalisme atas nama agama dan bangsa kian memuncak dalam negara.

Ya, pemikiran radikalisme dan ekstremisme tidak semuanya mengarah kepada terrorisme, namun semua aktiviti terrorisme atas nama apa sekalipun akarnya adalah pemikiran radikalisme dan ekstremisme.

Jalan marah, jalan ramah

Bibit-bibit semangat ‘ketuanan’, holier than thou , mentaliti us versus them menjalar aktif.

Kempen permusuhan, kebencian terhadap sesiapa yang berfikiran, berkelakuan, berpakaian, dan menjalani kehidupan yang berbeza ini tidak lagi dianjurkan oleh satu parti atau jabatan dominan yang berkuasa.

Kini, kempennya dikongsi dan dibahagi-bahagikan bersama organisasi berpaksikan agama dan kaum yang bukan berasaskan parti politik.

Seyogia, pertelingkahan yang dianjur secara sistematik dengan pelbagai modus operandi ini patut dihalang oleh masyarakat sivil segenap lapisan masyarakat terbanyak daripada terus membarah dalam masyarakat yang cintakan keamanan, kesetaraan dan kasih sayang.

Toleransi dan penerimaan dilihat rapuh walaupun lebih setengah abad kita bersama. Keterbukaan kepada perbezaan itu sukar untuk diterima sebagai normal.

Prejudis dan stereotaip tidak diurus dengan baik. Bukan sahaja jurang bersefahaman antara kaum dan agama semakin membesar, masalah dalam agama pun amat merunsingkan.

Kes-kes seperti tangkapan dan penindasan minoriti agama seperti Syiah dan Ahmadiyah, juga kes kalimah Allah dan salib gereja yang hangat kembali telah mencabuli hak beragama dan kepercayaan warganegara.

Tidak terkecuali tangkapan, kekasaran dan stigma negatif masyarakat terhadap individu yang berbeza identiti gender dan orientasi seksual.

Seakan jenayah dan ancaman yang tiada ampunnya. Lebih mudah untuk memilih jalan marah daripada jalan ramah.

Kemuliaan insan

Menghukum lebih digemari berbanding memahami. Kasih-sayang dan sifat kemanusiaan seakan mencair seterusnya luntur daripada hati sanubari setiap kita.

Perbezaan diraikan bukan untuk dimusuhi. Dalam bahasa Jawa lama disebut Bhinneka Ika Tunggal (penyatuan dalam kepelbagaian).

Semangat persaudaraan sangat dititikberatkan dalam Al-Quran seperti yang terdapat dalam Surah ke-49 al-Hujurat ayat 13:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” ( Tafsir Pimpinan al-Rahman ).

Rapatkan saf dengan mencari titik persamaan. Kita bangsa Malaysia, bangsa Manusia tidak kira daripada kelompok mana dan latar belakang apa, marilah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk terus merealisasikan sebuah masyarakat yang adil, merdeka dan egalitarian.

Bersama-samalah kita mengorak langkah lebih proaktif dan progresif untuk mengangkasa sejumlah hak kemanusiaan termasuk hak sivil, hak ekonomi dan hak sosial untuk semua warganegara tidak terkecuali kelompok minoriti dan terpinggir.

Kemajuan materialistik negara harus seiring dengan penegakan karamah insanyyah (kemuliaan insan) setiap individu.


AHMAD SALAMI aktivis mahasiswa dan penuntut tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa (UIA).