Polis Kedah menjalin kerjasama dengan Polis Thailand dalam usaha untuk membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, kata Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama di Agensi Penyelarasan Maklumat Sempadan Malaysia-Thailand berkata perkongsian maklumat bertujuan menjamin keselamatan antara kedua-dua negara.

Katanya perkongsian maklumat jenayah tertumpu kepada keluar masuk kumpulan militan IS atau dikenali sebagai pengganas Daesh menerusi sempadan Malaysia-Thailand, penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

"Kita akan ambil tindakan lanjut hasil daripada perkongsian maklumat itu untuk keselamatan bersama. Kita akan pantau secara rapi dan tidak ambil mudah mengenai jenayah rentas sempadan," katanya di majlis pemakaian pangkat ASP di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.

Beliau berkata perjumpaan dan perbincangan lanjut bersama Polis Wilayah 9, Songkhla, Thailand diadakan pada 9 Dis lepas dan berharap kerjasama berkenaan dapat membantu mengurangkan kes jenayah rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Zakaria berkata seramai 36 pegawai Polis dari Kontinjen Kedah berpangkat Inspektor dinaikkan pangkat kepada ASP selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugas mereka.

Beliau berharap agar pegawai terlibat akan terus memberi komitmen tinggi dalam pasukan serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda kotor yang boleh merosakkan imej Polis.

"Pangkat yang diterima merupakan cabaran besar bagi pegawai polis dalam melaksanakan tugas dengan cekap, bersih dan amanah kerana perjalanan anda masih jauh," katanya.

- Bernama