Rizalman mempunyai 'motif seksual', kata hakim
Muhammad Rizalman Ismail mempunyai motif seksual untuk pergi ke rumah seorang wanita, Tania Billingsley, di Wellington pada 2014, tanpa seluar dan seluar dalamnya.
Hakim Mahkam Tinggi David Collins mendapati selain bermotif seksual, Rizalman berada dalam keadaan mental yang tidak normal.
Hakim juga menggesa laporan kesesuaian tahanan rumah dibuat dan meminta Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan untuk mendapatkan dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia sama ada ia akan bekerjasama dengan hukuman tahanan rumah.
Rizalman, 39, menukar pengakuan pada pagi perbicaraannya atas satu tuduhan melakukan serangan tidak senonoh terhadap Tania pada 9 Mei 2014, selepas menyerang beliau di rumahnya di pinggir bandar Brooklyn.
Beliau meninggalkan New Zealand tanpa menghadapi perbicaraan selepas Malaysia menggunakan kekebalan diplomatik - dengan kepercayaan ia berbuat demikian dengan restu kerajaan New Zealand.
Rizalman kembali ke New Zealand, diiringi oleh pihak polis, selepas pendengaran ekstradisi telah difailkan di Malaysia.
Pada masa serangan itu, dia bekerja di Suruhanjaya Tinggi Malaysia sebagai pembantu kakitangan untuk penasihat pertahanan.
Dua tuduhan lagi, serangan dengan niat untuk melakukan pelanggaran seksual dan pecah rumah, telah dilepaskan oleh hakim.
Rizalman telah mengekori Tania pulang dari kedai yang berhampiran selepas menyangka Tania memberi isyarat kepadanya. Rizaman menanggalkan seluar dan seluar dalam di luar rumah sebelum membuang air besar. Dia kemudian masuk ke dalam, mengetuk pintu bilik tidur Tania dan masuk ke dalamnya.
Tania menolaknya keluar dari bilik tidur dan akhirnya keluar dari flatnya sebelum bersembunyi di bilik mandi. Rizalman kemudiannya ditangkap polis di luar rumah Tania.
'Tiada kaitan dengan dakwaan ilmu hitam'
Peguamnya memberitahu hakim bahawa Rizalman telah ditangkap di luar rumah Tania dan najis itu tidak ada kena mengena dengan dakwaan ilmu hitam.
Donald Stevens QC berkata pengakuan bersalah terhadap serangan tidak senonoh adalah kerana Rizalman tidak memakai seluar dan bukan kerana sebarang motif seksual.
Stevens berkata Rizalman yang telah tertekan di tempat kerja, mengalami keadaan mental yang tidak normal.
Dia hanya masuk ke dalam rumah kerana mahu menggunakan bilik mandi untuk membersihkan dirinya.
Dalam keputusannya hakim berkata perubahan dalam tingkah laku Rizalman telah disedari oleh isteri dan rakan-rakannya dan dia telah menemui doktor untuk rawatan.
Pada 2 Mei Rizalman telah membeli kanabis sintetik di Cosmic di Wellington Cuba St dan telah berkelakuan aneh terhadap kakitangan wanita.
Beberapa hari kemudian dia dilihat merenung wanita lain yang tidak dikenalinya.
Hakim Collins juga menyatakan bahawa semasa berada di hospital di Malaysia, Rizalman mengakui menggunakan kanabis sebelum ini, walaupun dia menafikan menggunakannya di New Zealand.
Hakim itu berkata Rizalman telah menunjukkan minat seksual terhadap wanita lain beberapa hari sebelum mengekori Tania pulang ke rumah dan ia adalah satu corak tingkah laku.
"Penjelasan Rizalman bahawa dia mengikuti Tania balik rumah kerana mahu berbaik-baik dengannya dan membincangkan masalah dengan beliau, adalah tidak masuk akal," katanya.
Hakim Collins berkata penjelasan Rizalman tentang tingkah lakunya "benar-benar tidak meyakinkan".
Beliau berkata dua keterangan bercanggah Rizalman mengenai apa yang dia lakukan adalah "satu rekaan dan percubaan rapuh untuk mengalih perhatian dari motif sebenar".
Hakim menganggap tingkah laku Rizalman sebagai pelik.
Pegia, Rizalman kini dijangka meminta hakim melepaskannya tanpa sabitan di pendengaran pada bulan Februari.

