IGP: Banyak laporan cubaan murtadkan umat Islam
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memgesahkan pihaknya menerima banyak laporan mengenai cubaan oleh kumpulan-kumpulan Kristian untuk memurtadkan umat Islam.
Walaupun tidak memberikan jumlah laporan yang tepat, Khalid berkata bilangan laporan yang dibuat di seluruh negara adalah sesuatu yang membimbangkan.
"Kami mempunyai laporan yang difailkan oleh individu-individu dan organisasi. Saya tidak perlu memberitahu anda bagaimana sensitif isu ini.
"Undang-undang adalah jelas mengenai perkara ini dan kita mesti akur," katanya kepada Malaysiakini.
Isu memurtadkan umat Islam menjadi tumpuan berikutan sebuah seminar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Melaka, hujung minggu lalu yang bertajuk 'Ancaman gerakan murtad Kristian.
Seorang pegawai polis Cawangan Khas adalah antara mereka yang dijemput untuk menyampaikan ceramah pada seminar itu. Pihak berkuasa menafikan seminar itu satu bentuk hasutan terhadap orang Kristian.
Walau bagaimanapun, kumpulan-kumpulan Kristian membantah apabila peserta mendedahkan bahawa mereka antara lain, diberitahu bahawa pendakwah Kristian yang menyamar dihantar ke Malaysia untuk memurtadkan umat Islam.
Semalam, Khalid mempertahankan kehadiran pegawai Cawangan Khas pada seminar berkenaan dengan berkata tiada undang-undang yang telah dicabuli.
Ditanya mengenai dakwaan pendakwah Kristian menyamar bagi memurtadkan umat Islam, katanya, laporan diterima mengenai perkara berkenaan.
"Awak perlu faham, sesetengah pendakwah asing tidak mempunyai pemahaman undang-undang Malaysia dan mendekati semua orang, termasuk umat Islam.
"Terdapat juga penduduk tempatan yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti itu tanpa mengambil kira undang-undang negara. Semua ini menyebabkan ketegangan di kalangan umat Islam," katanya.
Khalid memetik Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada pihak polis untuk bertindak dalam keadaan sedemikian.
Ia berbunyi: "Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.”
Semasa seminar itu, Khalid berkata penceramah tidak mengalakkan kebencian terhadap Kristian atau merendahkan martabat agama berkenaan tetapi sekadar mengingatkan peserta tentang percubaan tersebut demi melindungi agama Islam.
"Saya pasti kumpulan-kumpulan agama lain juga mengadakan seminar yang serupa untuk mengukuhkan lagi kepercayaan penganut masing-masing," katanya.

