Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gantung semua permit bauksit, gesa Fuziah pada MB Pahang
Diterbitkan:  Dec 17, 2015 3:55 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob perlu menggantung semua lesen mengeksport bauksit menerusi Pelabuhan Kuantan sekiranya beliau peduli tentang kesejahteraan rakyat, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Adnan semalam yang mengatakan kebajikan rakyat biasa di kawasan itu akan "mengatasi apa sahaja manfaat ekonomi".

Menurut Fuziah, Adnan juga mesti bersetuju menyekat sementara semua aktiviti perlombongan bauksit seperti dicadangkan kerajaan persekutuan.

"Ini akan menjadi bukti kenyataan beliau," kata Fuziah.

Kerajaan Pahang sebelum ini berkata ia sedang bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dengan pelan komprehensif mengenai perlombongan bauksit.

Pengusaha abai nasihat kerajaan negeri

Adnan berkata, kerajaan negeri terlibat dengan pihak berkepentingan beberapa kali dan telah menasihatkan pengusaha, kontraktor dan pengusaha pengangkutan menjadi lebih bertanggungjawab.

"Malangnya, nasihat ini tidak diendahkan," katanya.

Gambar-gambar Kuantan yang diselubungi debu merah, disebarkan di media sosial berikutan perlombongan bauksit yang berleluasa-kebanyakannya menyalahi undang-undang.

Terdapat juga banyak aduan pemandu lori yang didakwa memandu secara merbahaya ketika membawa bijih bauksit dari Bukit Goh ke Pelabuhan Kuantan.

Ujian Jabatan Alam Sekitar mendapati kandungan logam dalam air di kawasan itu lebih tinggi daripada biasa.

Sebelum ini penduduk tempatan menyewakan tanah mereka bagi perlombongan bauksit dengan menerima bayaran lumayan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS