Insya-Allah, Melayu tak jadi macam Arab, kata Hadi

Alyaa Azhar        

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap umat Islam di negara ini tidak menjadi seperti di Timur Tengah yang kini berperang sesama sendiri kerana perbezaan ideologi.

Katanya, meskipun Malaysia tidak dapat lari daripada pelbagai perbezaan ideologi, beliau yakin ia tidak akan sampai ke tahap yang boleh mengakibatkan peperangan.

"Sunni dengan Sunni berperang, Syiah dengan Syiah berperang, kerana perbezaan ideologi. Berperang dengan senjata yang diberi Barat, Timur, sama ada Amerika, Rusia atau China.

“Kita berperang dengan senjata mereka membunuh sesama kita. Apa jadi macam ini?” soalnya pada ucaptamanya di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015.

Menurutnya, walaupun berbeza pendapat dan berbalah serta berkelahi tetapi tidak terjadi peperangan proksi.

“Insya Allah, Melayu tidak jadi macam Arab,” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh oleh peserta.

Katanya, zaman penjajahan sudah berlalu dan rakyat perlu memerdekakan diri mereka.

“Penjajah sudah tidak ada lagi. Kita sendiri, ustaz-ustaz kita, ulama-ulama Al-Azhar, ilmuwan-ilmuan yang belajar ilmu dari Timur dan Barat, yang belajar agama banyak,” katanya mengajak peserta supaya membina kekuatan secara jasmani dan secara berkumpulan.

Hadi juga mengajak umat Islam supaya menghindarkan pertembungan kerana perbezaan ideologi.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In