Pengambilalihan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press oleh MCA sebagai satu langkah "kawalan hampir menyeluruh" Barisan Nasional terhadap media negara ini, kata sebuah parti pembangkang.

"Penguasaan cabang Eksekutif (kerajaan) secara total ini merupakan tamparan hebat kepada kebebasan media dan demokrasi," kata Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang turut hadir bersama 100 wartawan yang berpiket di depan pejabat akhbar masing-masing.

Tengahari tadi, wartawan-wartawan dua akhbar itu mengadakan piket di Petaling Jaya, Selangor dan Bangsar, Kuala Lumpur sebagai membantah pengambilalihan itu. Mereka juga memakai riben kuning, selain mengeluarkan kenyataan-kenyataan bantahan sejak minggu lalu.

Dr Wan Azizah berkata apabila sesebuah akhbar dikawal parti kerajaan, laporan-laporan akan menjadi berat sebelah.

"Berita yang melibatkan parti-parti bukan kerajaan lazimnya akan disudutkan (diketepikan). Kepincangan pentadbiran (kerajaan) dan skandal (pemimpin kerajaan) yang boleh merugikan negara tidak akan berani didedahkan," katanya lagi, dalam satu kenyataan petang tadi.

Dalam perkembangan terbaru, malaysiakini difahamkan sekumpulan pengurus dan pengarang akhbar-akhbar itu dikehendaki berhenti dan meninggalkan pejabat mulai jam 8 malam ini dan kumpulan pengurusan yang baru akan menggantikan tugas-tugas mereka.

Belian RM230.1 juta

Mereka termasuklah pengarah urusan kumpulan Wong Ah Lek, ketua pengarang Wong Kam Hor, penolong ketua pengarang Looi Chee Kien, pengarah eksekutif kumpulan Kou Yok Liong, pengarang urusan Ng Yen Fah dan penulis kanan Chung Bing Jiun.

Hume Industries (M) Bhd hari ini mengumumkan pelepasan 72 peratus pegangannya dalam Nanyang Press kepada Huaren Management Sdn Bhd (Huaren) dengan harga RM230.1 juta dan urus niaga itu akan berkuatkuasa Khamis ini.

Minggu lalu MCA, melalui syarikat pelaburannya Huaren, dilaporkan bercadang mengambil alih kumpulan akhbar itu yang turut mengusahakan 14 penerbitan, selain dua akhbar harian berkenaan.

Pada Sabtu lalu, 41 penulis Nanyang yang menggelarkan diri mereka 'Penulis yang Menentang Pengambilalihan Nanyang oleh MCA' berikrar untuk menghentikan sumbangan masing-masing kepada akhbar tersebut.

Sementara 14 pertubuhan utama Cina, dalam satu kenyataan bersama, menggesa pihak-pihak berkenaan membatalkan hasrat itu. Satu tunjuk perasaan dijadualkan diadakan di depan pejabat MCA pada Rabu ini sebagai bantahan.

DAP menganjurkan mesyuarat tergempar berkenaan isu tersebut yang dihadiri oleh 40 orang, manakala Keadilan dijadualkan menganjurkan forum pada Ahad depan di Dewan Perhimpunan Cina berhubung isu itu.