Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noor Farida tak tahu siasatan hasutan isu ‘khalwat’

Jurucakap kumpulan tokoh Melayu (G25) Datuk Noor Farida Ariffin mengakui beliau tidak tahu sama ada dirinya sedang disiasat mengikut Akta Hasutan.

"Saya tidak tahu tetapi menurut laporan oleh MMO ( Malay Mail Online ), saya disiasat," katanya kepada Malaysiakini dalam satu mesej teks SMS.

Noor Farida juga mengesahkan bahawa beliau masih belum dipanggil oleh pihak polis berhubung perkara itu.

The Malay Mail Online hari ini melaporkan bahawa siasatan hasutan sedang dijalankan ke atas Noor Farida berikutan gesaan beliau untuk mengkaji semula undang-undang Islam berhubung khalwat.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye dilaporkan sebagai mengesahkan dengan portal berkenaan bahawa polis sedang menyiasat bekas diplomat itu mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Lima laporan polis telah dibuat terhadap Noor Farida setakat ini - satu di Melaka dan empat di negeri-negeri lain.

Noor Farida, pada sidang medianya awal bulan ini, berkata enakmen kesalahan jenayah syariah yang ‘menceroboh ke dalam kehidupan peribadi rakyat’ harus dikaji semula manakala serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama perlu dihentikan.

Kenyataan G25 - kumpulan yang terdiri daripada bekas kakitangan awam kanan - mendorong mufti yang mencadangkan supaya ia dibubarkan manakala dan kumpulan NGO Islam mengutuknya atas dakwaan cuba menggalakan penzinaan.

Dalam maklum balasnya, G25 berkata, gesaannya supaya semakan semula enakmen syariah dibuat adalah demi "menjaga imej dan nama baik Islam".

Selain pelbagai bidasan dari kumpulan Islam, Noor Farida juga menerima ancaman rogol kerana gesaannya supaya serbuan khalwat dihentikan.

Presiden Animal Action Group, Sharul Nizam Ab Rahim menerusi Facebook minggu lalu mengugut bahawa dia akan memecah masuk ke rumah Noor Farida dan merogolnya kerana kenyataannya itu.

Lihat Komen
ADS