Urusan pinjaman siswa UPM kelam-kabut
Pemberian waran pinjaman pelajar di Universiti Putra Malaysia tidak diuruskan dengan teratur sehingga menyebabkan pelajar pengsan akibat kesesakan dan kelambatan yang luar biasa, dakwa persatuan mahasiswa.
"Selain mengganggu akademik dan tidak dapat hadir ke kuliah kerana terpaksa berurusan lama di kaunter PTPTN, ada di kalangan mereka (pelajar) pengsan dan ramai juga yang kehilangan barang akibat terlalu sesak," kata Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUPM), Che Zakaria Che Ali kepada malaysiakini.
Menurutnya, dewan besar universiti itu yang boleh menampung lebih kurang 4,000 pelajar digunakan untuk mengendalikan dua kali ganda bilangan penerima pinjaman melalui PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) selama tiga hari bermula Ahad lalu.
PTPTN diwujudkan untuk memudahkan penyelarasan pinjaman selepas kerajaan memperkenalkan sepenuhnya pengkorporatan institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak beberapa tahun lalu.
Kata Che Zakaria, beribu-ribu pelajar daripada beberapa sesi pengajian terpaksa beratur selama beberapa jam untuk mendapatkan waran di 10 buah kaunter yang disediakan akibat gagal mencari nama dan nombor waran.
Senarai nama pelajar dengan nombor waran yang disediakan oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) pula lambat dikeluarkan dan rosak akibat serbuan beribu-ribu pelajar, dakwanya lagi.
Sementara itu, terdapat kira-kira 4,000 pelajar universiti itu masih gagal mendapatkan waran akibat keadaan yang tidak teratur itu walaupun tempohnya sudah tamat Selasa lepas, jelas aktivis pelajar itu lagi.
Waran ini digunakan untuk menyemak butiran pelajar yang layak dan perlu diserahkan kepada bank sebelum wang tunai dimasukkan ke dalam akaun penerima.
Mereka yang gagal mendapatkan waran itu pada tempoh tersebut dikehendaki ke pejabat PTPTN di Damansara, Kuala Lumpur.
MPPUPM juga mengkritik PTPTN kerana mengenakan bayaran duti setem sebanyak enam ringgit dan potongan empat peratus setahun daripada jumlah pinjaman dengan alasan "kos untuk menanggung bayaran perkhidmatan dan pengurusan" walau gagal mengendalikan pemberian waran itu baru-baru ini.
Dianggarkan 17,000 pelajar UPM Serdang menerima pinjaman PTPTN.
"Kami tidak mahu perkara ini berulang di kampus yang lain," tambah Che Zakaria.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.