Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persidangan agung tahunan PERKASA hari ini meluluskan usul mendesak kerajaan mengisytiharkan kumpulan Melayu ternama G25 sebagai sesat.

Keputusan itu dibuat susulan dakwaan terlalu banyak penyebaran fahaman “liberalisme dan pluralisme” kebelakangan ini, yang menurut kumpulan pendesak Melayu itu, boleh mengancam akidah umat Islam.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali juga mahu kerajaan bertindak terhadap pihak yang sengaja melanggar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, berkaitan Islam sebagai agama persekutuan.

"PERKASA mengecam keras kebiadaban kumpulan G25 dan mendesak supaya kerajaan bertegas, mengenkang fahaman ini dengan menfatwa kumpulan G25 sebagai kumpulan sesat.

"Persidangan kali ini turut mendesak kerajaan bertegas dan mengambil tindakan mahkamah untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang ada kepentingan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan dalam persidangan keenam PERKASA di Pusat islam, Kuala Lumpur petang tadi.

G25 sebelum ini mahu beberapa undang-undang syariah yang dilihat menceroboh ruang peribadi, seperti tangkapan khalwat, disemak semula.

Sementara itu, PERKASA turut meluluskan usul menyokong ketegasan kerajaan memerangi puak pelampau agama yang memesongkan ajaran Islam seperti kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) dan Jemaah Islah (JI).

Ibrahim, bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu juga mahu pihak berkuasa agama mengambil tindakan berhubung kenyataan yang dibuat G25.

"Majlis Fatwa perlu siasat dan mengambil tindakan terhadap kenyataan yang dibuat G25 yang bertentangan dengan agama Islam," kata Ibrahim.

Lihat Komen
ADS