Hisham: PAS perlu langkaui politik untuk kerjasama Umno
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menggesa PAS supaya melangkaui politik dalam usaha mewujudkan kerjasamanya dengan Umno, sekaligus bagi memastikan umat Islam dapat dihormati.
"Sama ada PAS atau Umno, kalau kita mahu berjuang untuk Islam dan memastikan muslim dihormati, kita harus berfikir melampaui politik," katanya di lobi parlimen hari ini.
"Jika ini adalah prinsip dalam menjalin hubungan (dengan Umno), maka saya, sebagai Naib Presiden Umno, mengalu-alukan (PAS)," katanya.
Menurutnya, tiada keperluan untuk mempertikaikan inisiatif bagi kerjasama Umno-PAS selagi ia dilakukan dengan niat yang tulen untuk memberi manfaat kepada masyarakat Islam.
Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas bahawa Umno dilihat seolah-olah lebih bersemangat daripada PAS dalam membina hubungan antara kedua-dua pihak.
Parti Islam itu mengambil pendekatan baru untuk bekerjasama dengan Umno ekoran pembentukan gabungan pembangkang yang baru, Pakatan Harapan.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkongsi pentas yang sama dalam satu persidangan.
Bagaimanapun, Ketua Ulama PAS Mahfodz Mohamed mengusulkan hudud sebagai premis untuk kerjasama kedua-dua pihak, yang telah ditolak oleh MCA dan Gerakan.
Pada sidang akhbar hari ini, Hishammuddin berkata mereka masih belum berbincang mengenai isu hudud.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
