Lapangan terbang Sabiha Gokchen digegar letupan
Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISGIA) milik sepenuhnya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) digegarkan dengan letupan di kawasan landasan kira-kira 2.10 pagi waktu Turki.
Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB berkata, dua pekerja syarikat penerbangan dilaporkan cedera dalam insiden itu.
Menurut kenyataan itu, polis berada di tempat kejadian untuk memeriksa dan mengawal kawasan lapangan terbang sementara Majlis Keselamatan Penerbangan juga telah dimaklumkan mengenai kejadian.
Polis sedang menyiasat insiden itu dan kerajaan Turki telah mengetatkan keselamatan di sekitar kawasan lapangan terbang termasuk menjalankan pemantauan menggunakan helikopter, kata MAHB.
"Kami sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Turki dan rakan sejawat kami untuk membantu siasatan dan kami menunggu laporan rasmi daripada mereka mengenai insiden tersebut," kata Pengarah Eksekutif ISGIA Datuk Azmi Murad.
- Bernama

