Pegawai khas kepada Peguam Negara (AG) menafikan dakwaan dalam artikel yang disiarkan oleh laman web Sarawak Report yang mendakwa dia berperanan menghalang bedah siasat kedua ke atas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Kevin Morais.
"Laporan laman web itu satu pembohongan dan manipulasi fakta demi satu motif yang tersembunyi," Malaysian Insider memetik pegawai khas kepada AG itu, Mabel Muttiah sebagai berkata.
Katanya, dakwaan itu juga menyebabkan kewibawaannya dipertikaikan dan menjejaskan kerjaya dan keluarganya.
Mabel dipetik sebagai berkata mereka yang mengendalikan laman itu tidak mengamalkan etika kewartawanan kerana tidak ada seorang pun yang menghubunginya bagi mendapatkan respons pihaknya.
Laporan Malaysian Insider itu juga menyebut bahawa Mabel telah membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada hari Isnin, untuk membersihkan namanya.
