Malaysia Airlines mengakui melakukan kesilapan dan sedang menyiasat bagaimana seorang juruterbangnya yang berlepas dari Lapangan Terbang Auckland mendapati pesawat berkenaan menuju ke arah yang salah.
Lapan minit selepas berlepas pada pagi Jumaat, juruterbang yang menggemudikan penerbangan terus ke Kuala Lumpur mendapati pesawatnya itu terbang jauh ke arah selatan berbanding apa yang dirancang.
Beliau menghubungi pengawal trafik udara di Pusat Kawalan Oceanic Auckland dan diberitahu syarikat penerbangan itu membuat keputusan mengenai laluan yang sedikit berbeza.
Menurut Malaysia Airlines, syarikat itu telah melancarkan siasatan, tetapi penumpang tidak menghadapi sebarang risiko akibat kesilapan berkenaan.
Isnin lalu, Malaysia Airlines mengesahkan ia "secara tidak sengaja" memberi laluan penerbangan yang berbeza kepada anak kapal dan Pusat Kawalan Trafik Udara di Auckland.
"Penerbangan kami MH132 dari Auckland ke Kuala Lumpur diberi rancangan penerbangan terkini oleh Operations Dispatch Centre (ODC) syarikat penerbangan itu manakala Air Traffic Control Auckland (ATC) secara tidak sengaja diberikan laluan penerbangan sebelum ini," kata MAS dalam satu kenyataan.
"Kedua-dua laluan mengikuti laluan penerbangan yang diluluskan dan pesawat itu mempunyai bahan api yang cukup untuk kedua-dua laluan. Keselamatan kedua-dua penumpang dan anak kapal tidak pernah dikompromi pada bila-bila.
"Malaysia Airlines sedang menjalankan siasatan dalam mengemukakan rancangan penerbangan. Keselamatan adalah satu keutamaan bagi Malaysia Airlines dan ia mematuhi semua prosedur keselamatan dengan ketat."
Syarikat penerbangan itu tidak menjelaskan mengapa kedua-dua rancangan penerbangan berbeza, atau bagaimana kesilapan itu berlaku, tetapi berkata laluan penerbangan dihasilkan berdasarkan keadaan pada masa itu, termasuk notis cuaca, kecekapan, dan lalu lintas udara.
- Stuff
