Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Pemuda AMANAH mohon Raja Melayu halang MKN

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Hanya Majlis Raja-raja Melayu dapat menghalang Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 daripada diteruskan, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil.

Menurut Faiz, rakyat sangat berharap agar Yang Dipertuan Agong (YDPA) bersama Raja-raja Melayu dapat bersidang dan bertitah menolak undang-undang berkenaan dan seterusnya ia ditarik balik oleh kerajaan.

"Jika kerajaan meneruskan juga usaha mendapat perkenan YDPA selepas ditolak oleh Majlis Raja-raja Melayu, maka jelas kerajaan pimpinan umno tidak lagi mengendahkan titah Raja-raja Melayu dan boleh dianggap penderhaka," katanya pada kenyataan media hari ini.

Tambahnya, undang-undang baru ini bakal menjadikan PM sebagai seorang 'maharaja dan diktator' apabila seksyen 18 memberikan kuasa kepadanya untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

"Pengisytiharan kawasan keselamatan adalah sama sifatnya seperti darurat di mana kawasan yang diisytiharkan tersebut akan ditadbir oleh MKN yang berkuasa ke atas pasukan bersenjata termasuk polis dan tentera. Perintah berkurung juga boleh dilaksanakan ke atas rakyat.

"Di bawah undang-undang MKN ini, pengisytiharan kawasan keselamatan ini bukan sahaja tidak memerlukan konsultansi dan kelulusan parlimen atau YDPA, malahan menteri kabinet juga," ujarnya.

Beliau turut memberi contoh Bahagian V Undang-undang MKN yang memberi kuasa kepada MKN untuk memeriksa dan menangkap mana-mana orang, menggeledah premis dan menyita kenderaan serta mengambilalih premis milik rakyat.

Manakala seksyen 38 pula memberikan kerajaan kekebalan daripada disaman oleh mana-mana pihak untuk apa-apa kerugian akibat kerosakan harta benda atau kecederaan atau kehilangan nyawa sepanjang penguatkuasaan kawasan keselamatan.

"Hanya Majlis Raja-raja Melayu yang merupakan kuasa tertinggi sistem pemerintahan negara berupaya menghalang kegilaan peralihan suatu kuasa diktator di negara ini.

"Justeru, patik merafak sembah memohon agar Majlis Raja-raja Melayu dapat membela nasib dan hak rakyat dan seterusnya mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan negara yang tercinta ini,," kata Faiz.