BERITA Malaysiakini

1MDB: WSJ mahu jatuhkan Malaysia

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

1MDB menolak laporan terbaru akhbar Wall Street Journal (WSJ) yang menurutnya “dakwaan tidak berasas” yang dikitar semula sejak pertengahan 2015.

“Hakikatnya tiada berita sebenar yang terdapat di dalam artikel tersebut.

“Atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh pihak pengurusannya, Wall Street Journal dengan jelas kelihatan senang untuk menjadi papan kenyataan bagi teori konspirasi dan fitnah yang disebarkan oleh pihak pembangkang di Malaysia.

“Ini adalah amat menyedihkan bagi pembaca penerbitan ini yang berhak mendapat berita lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat pelaburan negara itu juga berkata seperti diketahui WSJ, tuduhan yang dibuat masih menjadi subjek siasatan menyeluruh oleh pelbagai pihak berkuasa di Malaysia.

“Tambahan pula, seperti yang telah diakui beberapa kali sebelum ini oleh Wall Street Journal dalam artikel mereka, tiada sebarang dakwaan bahawa berlakunya aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Oleh itu kami amat bingung dengan tindakan Wall Street Journal untuk terus-menerus berkempen untuk menjatuhkan 1MDB dan Malaysia, dan kami menggesa agar mereka dapat memberi tumpuan kepada berita sebenar,” katanya.