BERITA Malaysiakini

'Jho Low agih dana politik 1MDB'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Taikun perniagaan Jho Low dibawa menyertai 1MDB untuk membantu mengendalikan perbelanjaan berkaitan pilihan raya umum, dedah seorang bekas ahli politik parti pemerintah.

Ini di sebalik hakikat bahawa Low tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam Umno, kata ahli politik itu dalam laporan yang diterbitkan oleh akhbar kewangan Amerika Syarikat, The Wall Street Journal (WSJ) hari ini.

Seorang bekas kakitangan 1MDB juga dilaporkan sebagai berkata bahawa kerahsiaan sentiasa menyelubungi 1MDB dengan pihak pengurusan kanan enggan berkongsi sebarang dokumen di Google.

Katanya, pihak pengurusan khuatir bahawa dokumen berkenaan jatuh ke tangan pembangkang.

Beliau juga mendedahkan bahawa Low menggunakan kod nama "UC" apabila beliau dihubungi semasa persidangan.

Oh Ei Sun - bekas setiausaha politik Datuk Seri Najib Razak - dipetik sebagai berkata bahawa 1MDB dilihat oleh Pejabat Perdana Menteri sebagai satu cara untuk membiayai projek-projek yang mampu meningkatkan populariti Umno.

Katanya, 1MDB memperuntukkan wang untuk projek-projek yang dicadangkan itu oleh kakitangan di Pejabat Perdana Menteri.

"Jika kita fikir ia boleh membantu mendapatkan kerajaan sedia ada beberapa undi, kita akan mencadangkannya," kata Oh yang kemudiannya meletak jawatan disebabkan oleh kebimbangannya berhubung kurangnya ketelusan dalam kerajaan.

Menurut WSJ, minit mesyuarat syarikat pelaburan negara itu juga mendedahkan bahawa pengerusi lembaga pengarah 1MDB "menyatakan bahawa adalah penting bagi syarikat itu mendapatkan sokongan rakyat Sarawak, terutama penduduk pribumi".

Menurut WSJ lagi, kerajaan juga telah menjual tanah utama di Kuala Lumpur kepada 1MDB pada tahun 2010 pada harga di bawah pasaran untuk pembangunan sebuah pusat kewangan, dalam usaha sama dengan sebuah anak syarikat milik Abu Dhabi.

Pegawai strategi kanan BN

Sementara itu, seorang pemimpin BN, bekas parti yang memerintah di Pulau Pinang, dilaporkan berkata Low pulang ke Pulau Pinang yang merupakan kampung halamannya, sebelum pilihan raya Mei 2013 dan bertindak sebagai pegawai strategi kanan BN.

Menurut pemimpin itu, Low dilaporkan berkata kepada calon-calon pilihan raya bahawa jika mereka memerlukan dana untuk kempen, mereka boleh memintanya dan beliau akan menyalurkannya.

Antara perkara yang diminta calon, kata pemimpin itu, adalah wang untuk mengecat rumah pengundi, makanan percuma dan sebagainya.

1MDB dalam kenyataannya hari ini menolak laporan terbaru WSJ yang menurutnya “ dakwaan tidak berasas ” yang dikitar semula sejak pertengahan 2015.

[Baca berita penuh]